KUANTAN: Sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama lima krew warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang disyaki melanggar syarat sah lesen, kira- kira 0.68 batu nautika dari Muara Sungai Kuantan di sini.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot tersebut dalam keadaan mencurigakan ditahan aset Maritim Malaysia ketika sedang melakukan rondaan Op Makmur lebih kurang pukul 10.15 pagi semalam.
“Pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati semua kru termasuk tekong berumur antara 22 sehingga 27 tahun dan pengenalan diri yang mencurigakan.
“Kesemua mereka ditahan bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut dianggarkan seberat 730 kilogram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kamal Ariffin berkata, bot yang ditahan itu, kemudiannya diiringi masuk ke Jeti Penerpa untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan selanjutnya.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen dan tidak mempunyai pas kerja yang sah,” katanya.
Sementara itu, katanya, komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan digesa agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen.
Katanya lagi, nelayan juga harus mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut komuniti maritim boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. –UTUSAN ONLINE











