BALING: Dunia bagaikan terhenti seketika buat Shahrudin Aziz, 51, sebaik sahaja menyaksikan mayat isterinya, Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelaki, Mohd. Ziyad Zikri, 7, dan Mohd. Ziyad Haziz, 5, berpelukan antara satu sama lain ketika kereta Proton Persona dinaiki mangsa dikeluarkan dari Sungai Ketil di sini.
Lebih mengejutkan, katanya, apabila melihat ketiga-tiga mereka berada di kerusi penumpang belakang.
“Sedih kerana saya kehilangan tiga ahli keluarga serentak dalam keadaan menyayat hati tetapi sebagai seorang Islam, saya reda dengan kejadian ini,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam, Masyitoh yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selarong lemas bersama dua anaknya selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Ketil di Kampung Cicar, Kuala Ketil.
CERAI
Shahrudin memaklumkan, walaupun kini dalam proses perceraian dengan isterinya, dia tetap mengambil berat hal kebajikan berkaitan ahli keluarganya itu selama ini.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah isteri adalah pada Rabu lalu ketika kami hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di Baling. Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan melainkan dia lebih banyak berdiam diri dan meminta saya segera menyelesaikan kes tuntutan cerai kami,” katanya.
Shahrudin yang merupakan bekas pekerja kilang kini menampung hidup melalui pencen ilat yang diperolehnya selepas mengalami kecacatan kekal ekoran terlibat kemalangan beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, dia bersama isteri dan tiga anak mereka tinggal di Taman Haji Muslim, Kuala Ketil sebelum Masyitoh menyewa rumah di Taman Amanjaya di Sungai Petani bersama dua anak lelaki mereka yang turut meninggal bersamanya dalam kejadian terbabit.
“Saya pula menjaga dan membesarkan anak sulung kami iaitu Mohd. Ziad Hazif yang berusia 10 tahun,” katanya yang memaklumkan jenazah tiga beranak itu dikebumikan di Kampung Bukit Pinang, Kepala Batas di Alor Setar.
Sementara itu, guru bahasa Inggeris SK Kampung Selarong, Iylia Awatif Zulkaple, 31, yang juga rakan karib mangsa berkata, mangsa agak keletihan dan lebih banyak berdiam diri semasa hadir program gotong royong di sekolah mereka pada hari kejadian.
“Mangsa juga dua kali tertinggal beg tangan dan cermin matanya sepanjang program di sekolah dan ini menghairankan saya kerana arwah merupakan seorang guru yang cermat dan berwaspada sepanjang yang saya kenal,’’ katanya. – UTUSAN