PETALING JAYA: Sebanyak 31,598 entiti terdiri daripada individu, perniagaan, syarikat dan lain-lain yang masih tidak melaporkan pendapatan sebenar.
Kegagalan untuk mengisytiharkan pendapatan sebenar itu menyebabkan jumlah ketirisan cukai langsung dialami oleh negara dianggarkan bernilai RM665 juta.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pengesanan itu dibuat berdasarkan data dan analisa terhadap maklumat melalui pemilikan aset dan kemampuan entiti tersebut mengambil pinjaman dan sekuriti melebihi RM500,000 ke atas.
“Melihat kepada nilai anggaran ketirisan ini, ia merupakan satu jumlah yang signifikan dan mampu memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara jika ia tidak segera dibendung,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, LHDN menasihati kesemua entiti tersebut supaya tampil secara sukarela ke cawangan berhampiran bagi mendaftar fail cukai dan melaporkan pendapatan yang sebenar.
“Bagi tujuan itu, tempoh masa yang diberikan kepada mereka untuk mengambil tindakan seperti yang dinasihatkan ialah selama sebulan iaitu bermula dari 15 Jun hingga 15 Julai 2022,” katanya.
Selepas tempoh itu tamat, LHDN akan mengambil tindakan penguatkuasaan cukai seperti audit, siasatan sivil dan siasatan jenayah terhadap entiti dan individu berkenaan yang masih gagal patuh menghantar Borang Nyata Cukai bagi sesuatu Tahun Taksiran, mengemukakan penyata yang salah, dan mengelakkan diri daripada dikenakan cukai.
“Tindakan siasatan jenayah akan memberi implikasi pendakwaan di mahkamah. Ketidakpatuhan dan pelarian cukai ini dikenakan tindakan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 112, 113 dan 114 Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.
Cukai pendapatan dikenakan terhadap setiap individu bagi pendapatan yang terakru atau terbit di Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar Malaysia bagi setiap Tahun Taksiran.
Seseorang individu yang mempunyai jumlah pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan, yang boleh dikenakan cukai perlu mendaftar fail cukai pendapatan.
Bagi individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM 34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB) adalah layak dikenakan cukai.
Keuntungan yang diperoleh daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau kerjaya juga merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa. –UTUSAN ONLINE