KPM tidak pernah keluarkan ranking sekolah

KPM tidak pernah keluarkan ranking sekolah

KEMENTERIAN Pendidikan tidak pernah menetapkan kedudukan ranking sekolah berdasarkan keputusan SPM 2021 yang diumumkan baru-baru ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan kedudukan ranking mengukur prestasi antara sekolah berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan, kedudukan ranking yang boleh diakses oleh orang ramai tersebut berkemungkinan dikumpulkan oleh pihak-pihak lain.

“Saya tidak tahu beliau dapat dari mana maklumat tersebut, untuk makluman KPM tidak pernah keluarkan sebarang ranking untuk keputusan SPM. Boleh semak bahawa tahun-tahun sebelum ini pun memang tidak ada ranking yang dikeluarkan KPM.

“Kalau ranking ini dibuat oleh pihak-pihak lain maka itu di luar bidang kuasa kami, kami tidak dapat menghalang (mungkin mereka) berusaha keras untuk dapatkan maklumat dan mengumpulkannya sebagai ranking.

“Jadi saya amat berharap, semua di luar sana betul-betul menyemak fakta yang ada sebelum membuat sebarang ulasan kerana ini memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan sistem yang dilihat seolah-olah mewujudkan satu ranking untuk membanding-bandingkan, sedangkan kita lihat pada hari pengumuman pun tidak pernah disebut dalam laporan yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman Anugerah Sastera Negara Ke-15 di sini hari ini.

Radzi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali bahawa KPM perlu menghentikan sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

Menurut Noor Azlan, sistem tersebut merupakan satu kesalahan besar dan KPM sepatutnya fokus dalam tugas mendidik pelajar.

Dalam perkembangan berlainan, Radzi berkata, KPM tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengkaji semula Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM.

Sebaliknya jelas Radzi, kementerian itu akan melihat punca mengapa ramai calon gagal dalam subjek tersebut dalam peperiksaan tahun lalu.

“Kita akan lihat apakah faktor-faktor penyumbang kepada keputusan tersebut dan mencari satu pendekatan intervensi yang bersesuaian bagi memastikan anak-anak yang lahir daripada sistem pendidikan kita ini dapat menguasai subjek Sejarah dan pastikan pada masa akan datang jumlah pelajar yang gagal mata pelajaran ini dapat dikurangkan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, Radzi berkata, beliau telah meminta KPM untuk meneliti mengenai dakwaan silibus Matematik sekolah rendah yang berada pada aras tinggi sehingga membebankan guru dan murid-murid.

Jelas Radzi, penelitian itu bertujuan untuk memastikan sama ada silibus berkenaan benar-benar kompleks atau sebaliknya.

“Saya minta KPM melihat adakah ia terlalu kompleks atau pun adakah ia sesuatu yang tidak dibiasakan kepada masyarakat.

“Pusingan pertama kohort Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan tamat tahun ini, bila tamat pusingan ini memang menjadi pendekatan KPM untuk buat rebiu dan meneliti kembali silibus yang ada,” katanya.

Beliau mengulas keluhan seorang guru di media sosial yang mendakwa sistem pendidikan negara rosak berikutan kewujudan ‘Little Napoleon’ di Pejabat Pendidikan Daerah yang ‘menyorok’ kebenaran mengenai isu silibus aras tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya