Konsep diyat sebagai ganti banduan hukuman mati sedia ada - Utusan Malaysia

Konsep diyat sebagai ganti banduan hukuman mati sedia ada

WAN Junaidi Tuanku Jaafar bercakap dalam sidang akhbar khas di Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan berkemungkinan memperkenalkan konsep diyat atau pembayaran pampasan ke atas banduan hukuman mati sedia ada termasuk untuk pesalah yang bukan Islam.

Ia antara idea diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar jika hukuman mati mandatori dimansuhkan kelak.

“Cadangan ini saya dapat daripada pelbagai pihak, tetapi, saya belum lagi berbincang dengan pihak ilmuwan syariah atau mufti negeri dan ini memerlukan sesi libat urus bersama mereka.

“Mungkin dibuat menyeluruh atau kes tertentu sahaja kerana kita kena pertimbang banyak isu termasuk keadilan untuk keluarga mangsa,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Utusan Online semalam melaporkan hukuman alternatif kepada hampir 2,000 banduan akhir yang menunggu giliran digantung sampai mati jika hukuman mati mandatori dihapuskan nanti.

Jumaat lalu, beliau menerusi kenyataan akhbar memaklumkan bahawa Kabinet pada 8 Jun lalu memutuskan pemansuhan hukuman secara mandatori itu yang melibatkan 11 kesalahan.

Ia meliputi sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua kesalahan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dengan pihak hakim bakal diberikan kuasa budi bicara.

Sebelum itu, hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dipinda pada 2018 lalu yang membolehkan budi bicara digantikan dengan hukuman lain.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi menjelaskan bahawa rekod terkini menunjukkan hanya tinggal 1,342 banduan akhir namun moratorium masih dikekalkan sehingga dimuktamadkan nanti.

“Justeru, pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara akan teliti segala syor Jawatankuasa Khas untuk nasib pesalah ini termasuk dibentuk panel tribunal.

“Mereka akan terdiri daripada beberapa hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan kerana ia menyentuh isu keperlembagaan termasuk pindaan akta tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, diyat ada kekurangan kerana ia memberi kelebihan pesalah yang kaya berbanding miskin tidak mampu melunaskan pampasan kepada keluarga mangsa kes.

Justeru katanya, masih banyak isu perlu dipertimbangkan bagi mengambil kira sensitiviti waris mangsa jenayah kejam itu yang mungkin terkesan teruk dan tidak mencapai objektif keadilan.

Wan Junaidi turut memaklumkan bahawa inisiatif pemansuhan hukuman mati mandatori sudah timbul menerusi kajian pada 2009 sebelum difikirkan kerajaan secara serius pada 2012.

Ini diikuti pada 2017 lalu apabila Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 menjadi perintis penggunaan budi bicara hakim kepada alternatif penjara seumur hidup atau sebatan 15 kali.

“Alhamdulillah, kali ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertindak berani dengan memansuhkan beberapa lagi kesalahan tertentu bagi diganti hukuman lain,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya