Kongsi kisah alam Melayu sebagai diplomasi budaya - Utusan Malaysia

Kongsi kisah alam Melayu sebagai diplomasi budaya

SHAMSUL Amri Baharuddin (tiga kanan) bersama Duta besar Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov (tiga kiri) melancarkan buku "Readings On Malaysia" di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sarjana tempatan disaran terus aktif mempromosikan lagi khazanah kehebatan alam Melayu ke pentas dunia sebagai antara alat bagi diplomasi budaya negara.

Pandangan itu disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, malah, mengakui kekayaan alam Melayu kini dijadikan aktiviti dasar luar yang diberikan tumpuan Wisma Putra.

Sambil memberi contoh orang Barat ada alam mereka tersendiri, walhal alam Melayu jauh ‘lebih kaya’ dan boleh dijadikan fokus sarjana Malaysia bagi dikongsi sebagai diplomasi budaya.

“Kerja sebegini tidak dapat dilakukan andai tiada kandungan kerana kami di Kementerian Luar cuma jurubicara negara dan sepatutnya dasar luar itu bermula dari laman sendiri,” katanya.

Beliau berucap secara rakaman bagi merasmikan Persidangan The Inaugural Global Malaysia Studies Network (GMSN) anjuran Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.

Pada acara itu, beliau turut melancarkan buku ‘Readings on Malaysia: Selected Essays’ tulisan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang disusun Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Mengulas persidangan itu yang bertemakan ‘Reimagining Malaysian Studies in a Post-Pandemic World,’ Saifuddin berkata, ia selaras diplomasi budaya yang digerakkan pihak kementerian.

“Pada 2018, saya sudah memulakan kerangka dasar luar yang merujuk beberapa pendekatan baharu antaranya bagaimana promosi dan berkongsi alam Melayu di pentas dunia,” katanya.

Justeru, beliau berharap cendekiawan tempatan berupaya memperkenalkan imej Malaysia melalui saluran diplomasi akademik berdasarkan hasil kajian dan bukti empirikal yang tepat.

Penglibatan mereka ujarnya, boleh membantu usaha diplomasi budaya menjadi lebih holistik dengan pelbagai kementerian dan agensi lain bagi mempromosikan Malaysia di luar negara.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik usaha oleh ramai sarjana asing yang pakar mengenai hal ehwal Malaysia dan lazim dirujuk sebagai Malaysianist untuk membantu pihak kerajaan.

Penglibatan mereka jelas Saifuddin, dapat memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat global kerana kelompok itu ada pengaruh tertentu dan sering dijadikan rujukan oleh pihak luar.

“Saya pasti jika mereka diberikan fasilitasi untuk tolong kita, usaha bersepadu ini akan memberi impak yang lebih menguntungkan dari segi jangka panjang kepada Malaysia,” tambahnya.

Peserta persidangan itu turut menyaksikan pembentangan tiga felo pasca kedoktoran GMSN selain sesi perbincangan meja bulat mengenai penyelidikan disertai tujuh sarjana terkemuka.

GMSN dilancarkan pada September tahun lalu bagi menggalakkan pemahaman lebih luas dan bernuansa Malaysia dengan naratif seimbang yang positif di peringkat nasional dan global. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya