PETALING JAYA: Penghinaan dan kezaliman terhadap mana-mana penganut agama di India termasuk Kristian, Buddha, Islam serta pelbagai kasta seperti Dalit perlu dihentikan segera.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan kemudian menyeru kerajaan India pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi menjaga keharmonian serta kesederhanaan kehidupan beragama di negara tersebut.
“Pakatan Harapan juga akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia untuk memberi penegasan terhadap isu ini,” katanya berhubung isu wakil parti Bharatiya Janata Party (BJP) di India minggu lalu yang menghina Nabi Muhammad sehingga mengguris hati serta menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Terdahulu, dua pemimpin BJP selaku parti utama kerajaan India mencetuskan kontroversi selepas dua jurucakap parti berkenaan mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan.
Jurucakap Kebangsaan BJP, Nupur Sharma digantung daripada keahlian utama Ahad lalu, selepas komentar yang dibuat semasa debat di televisyen.
Sharma dilaporkan menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah menerusi debat minggu lalu. –UTUSAN ONLINE