Keluarga mualaf tinggal sehelai sepinggang selepas rumah terbakar - Utusan Malaysia

Keluarga mualaf tinggal sehelai sepinggang selepas rumah terbakar

FARIDAH Lanar (kanan) bersama suami dan anak perempuannya melihat motosikal mereka yang hangus dalam kebakaran di Kampung Kerinting, Gua Musang, Kelantan. -UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sepasang suami isteri mualaf bersama dua anak perempuannya berhadapan ujian besar apabila rumah sewa didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kerinting di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, rumah yang didiami Faridah Lanar, 43, yang berbangsa Kadazan bersama suami Pandan Leman, 69, yang berbangsa Iban serta dua anak perempuan mereka, Natalia Veronie, 21, dan Nor Fifi Adlynna , 11, sejak setahun lalu, musnah terbakar menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Faridah berkata, dalam keadaan yang sukar dengan pendapatan suami tidak menentu bekerja di ladang getah menyebabkan mereka buntu khususnya dalam mencari kediaman baharu.

Buat sementara waktu, mereka menumpang di rumah saudara mereka di kawasan berhampiran.

“Semasa kejadian, saya tiada kerana mengikut suami untuk menyelesaikan urusan kerjanya dan hanya anak-anak perempuan tinggal di rumah.

“Mengikut cerita anak, kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah bilik dan api marak terlalu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan barang-barang termasuk pakaian serta dua buah motosikal,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Kampung Kerinting di sini hari ini.

Menurut Faridah, kesedihannya bertambah apabila al-Quran dan tasbih kesayangan pemberian ustaz ketika dia mula memeluk Islam turut hangus terbakar.

Katanya, al-Quran dan tasbih itulah yang sering dibacanya selepas memeluk Islam lebih 10 tahun lalu.

Sementara itu, Pandan yang menetap di daerah ini sejak 15 tahun lalu berkata, mereka berharap mendapat bantuan kediaman bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, mereka baru hendak bangkit semula selepas terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kini berhadapan ujian besar apabila rumah sewa didiami bersama keluarganya musnah dalam kebakaran.

“Kami tidak tahu ke mana hendak pergi lagi lepas ini dan kini tinggal bersesak bersama saudara yang mempunyai lapan orang ahli keluarga lain.

“Kami telah meninjau keadaan di kawasan rumah selepas kebakaran dan mendapati tiada lagi barang yang boleh digunakan,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Faridah Lanar bernombor, 03020-41-000065894 atau hubunginya di talian 017-9733005. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN