Kekal tarif elektrik, air tak dapat kawal inflasi - Utusan Malaysia

Kekal tarif elektrik, air tak dapat kawal inflasi

PENGGUNAAN meter pintar bersama aplikasi MyTNB mampu membantu pengguna kediaman mengawal penggunaan elektrik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik dan air di samping menetapkan harga siling ayam baharu tidak dapat mengawal kenaikan inflasi dalam negara.

Inflasi yang menyaksikan kenaikan harga barang secara mendadak dengan pengeluaran terhad diramal terus meningkat kerana ia berlaku di seluruh dunia.

Jabatan Perangkaan Malaysia kelmarin memaklumkan inflasi makanan sahaja meningkat ke paras 5.2 peratus pada bulan lalu dan rekod itu adalah yang tertinggi sejak November 2011.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Bank Dunia menerusi laporan Prospek Ekonomi Global Jun 2022 bahawa risiko stagflasi, (gabungan inflasi dan pertumbuhan lembap) meningkat di peringkat global dan negara ekonomi baharu muncul serta memuncak pada pertengahan tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, apabila kerajaan mengekalkan subsidi dan tidak mengapungkan harga ayam, ia dianggap sebagai langkah ‘wajar tetapi tidak popular’.

Beliau berkata, tindakan diambil kerajaan hanya sebagai usaha mengekang kesan-kesan fenomena berkenaan, namun inflasi terus meningkat ke paras lebih tinggi pada masa akan datang.

“Dalam keadaan sekarang bukan masa sesuai apungkan harga ayam dan naikkan tarif elektrik. Jadi, kerajaan mengambil keputusan bukan popular kerana ia menambah beban rakyat.

“Kalaulah kerajaan menaikkan tarif elektrik kerana kos penyelenggaraan, ia memberi kesan domino menyaksikan kenaikan kos-kos berkaitan terlibat seperti pengangkutan, makanan dan sebagainya. Jadi, semua rantaian ini akan terkesan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohamad Idham berkata, meskipun berdepan inflasi, kerajaan dicadangkan supaya mempelbagai sumber ekonomi bagi meningkatkan produktiviti ekonomi domestik.

“Kerajaan boleh fikirkan kaedah lain seperti usaha proaktif ke arah pengeluaran barangan sumber untuk memenuhi keperluan domestik. Dengan ini, kita tidak lagi bergantung kepada barang import mentah dari luar.

“Mungkin juga kerajaan boleh beri subsidi tenaga alternatif seperti pemasangan solar. Ini bertujuan sebagai penggunaan tenaga alternatif lain untuk menjana elektrik sepertimana negara luar menggunakan udara dan solar untuk menghasilkan elektrik,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan tidak menaikkan tarif elektrik, membatalkan cadangan mengapungkan harga ayam dan menolak kenaikan tarif air bagi membendung lonjakan inflasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Dr. Zokhri Idris berkata, pengekalan tarif elektrik dan air serta penetapan harga ayam dikatakan dapat mengawal inflasi tidak tepat kerana ia dipengaruhi kos pengeluaran, bahan api, pekerja dan gaji minimum.

Beliau mengunjurkan inflasi bagi Malaysia tahun ini pada tiga peratus mengambil kira pergolakan di Ukraine-Rusia, polisi sifar Covid-19 China, peningkatan kos pengeluaran dan perkhidmatan serta gaji minimum.

“Tarif air berada dalam keadaan terkawal sejak lima hingga 10 tahun kebelakangan ini tetapi inflasi masih berlaku. Tarif elektrik pula diberikan rebat 2sen/kwj untuk pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Penggunaan surcaj 3.70 sen/kwj diberikan kepada badan komersial dan industri, namun kita menyaksikan kos pengeluaran barang semakin meningkat.

“Cadangan saya, sudah tiba masa untuk kerajaan menggunakan subsidi bersasar iaitu hanya golongan miskin tegar, golongan berpendapatan rendah (B40) dan benar-benar memerlukan boleh menggunakan subsidi,” katanya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan inflasi meningkat jauh lebih tinggi bermula bulan ini dan seterusnya.

“Namun, ini bergantung dengan faktor luaran (ekonomi dunia) dan faktor dalam (ekonomi domestik). Semua pihak iaitu pemerintah, rakyat dan peniaga perlu memainkan peranan masing-masing dengan mencapai keseimbangan antara pengeluaran (penawaran) dan penggunaan (permintaan) untuk menstabilkan harga pasaran,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.