Kartel pegang nelayan, LKIM perlu bersedia tindakan boikot

Kartel pegang nelayan, LKIM perlu bersedia tindakan boikot

Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) nasihat nelayan menjual terus kepada orang ramai hasil tangkapan mereka bagi mengelak cengkaman orang tengah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berdepan cabaran boikot daripada pemain-pemain industri perikanan termasuk golo­ngan nelayan sekiranya badan itu melaksanakan dasar wajib menjual ikan kepada mereka.

Ini kerana kebanyakan nelayan-nelayan di negara ini bergantung kepada tauke-tauke besar yang menjadi peraih atau orang tengah untuk menjual hasil laut yang diperoleh.

Malah, kebanyakan nelayan khususnya di negeri ini menggunakan bot milik tauke-tauke ikan untuk turun ke laut dan diarahkan mendaratkan hasil tangkapan hanya di jeti-jeti milik mereka.

Situasi sedemikian dapat dilihat apabila Jeti Kompleks LKIM yang dibina dekat Sungai Selangor di Kuala Selangor bertujuan untuk mendaratkan ha­sil laut daripada nelayan tetapi tidak mencapai matlamat.

DIKAWAL

Hal demikian berlaku apabila terdapat nelayan-nelayan serta tauke-tauke enggan memberi kerjasama untuk menjual ikan kepada LKIM kerana mengelak daripada bekalan hasil laut itu dikawal kerajaan termasuk harganya.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Omar Abd. Rahman kepada Utusan Malaysia apabila mendakwa kompleks yang menelan belanja RM21 juta itu diboikot tauke-tauke nelayan yang bimbang tidak dapat mempelbagaikan harga ikan.

“Memang (Kompleks) LKIM (di Kuala Selangor) masih beroperasi untuk pengurusan, tetapi pendaratan ikannya tidak berfungsi sampai hari ini, memang tak ada langsung, cuma yang didaratkan adalah kerang.

“Sebab ada sebahagian nelayan (dipegang tauke) tidak mahu daratkan ikan di jeti ber­kenaan, walaupun diberi percuma tanpa bayaran bulanan, sebab mereka tak dapat pelbagaikan harga ikan.

“Bila naik dekat jeti LKIM, harga ikan akan dikawal oleh kerajaan. Kalau naik dekat pelantar mereka sendiri, tauke beli de­ngan nelayan contohnya harga sotong RM5 dia boleh jual sesuka hati dengan alasan hasil kurang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah, tanpa melalui LKIM tauke-tauke boleh memberi pelbagai alasan untuk menaikan harga seper­ti kekurangan bekalan dan musim tengkujuh.

JUALAN TERUS

Dalam pada itu, Omar turut memaklumkan, nelayan-­nelayan di Selangor dengan kerjasama LKIM sudah pun melaksanakan penjualan ikan secara terus daripada nelayan kepada pengguna melalui pasar-pasar nelayan di negeri ini.

Menurut beliau, masalah orang tengah bukan bukan perkara baharu dan usaha me­merangi kumpulan itu sudah pun dilakukan sejak puluhan tahun kerana mengaut keuntungan di atas kesusahan nelayan dan menekan pengguna.

“Masalah orang tengah, sukar untuk diatasi, kami sebagai nelayan dan daripada LKIM pula mewujudkan pasar nelayan. Bila ada pasar nelayan, suami turun ke laut, contohnya LKIM buat pasar, bila balik suami akan jual kepada isteri dan isteri pula jual kepada pengguna.

“Itu cara yang digunakan, ada yang sudah berjaya seperti di Sungai Yu dan Sungai Kajang, tetapi yang kita hendak adalah supaya ditambah lagi pasar-pasar sedemikian,” jelasnya.

Tambahnya, terdapat pasar-pasar nelayan dekat kawasan-kawasan di sepanjang persisiran pantai negeri ini boleh dikunjungi pengguna yang mahu mendapatkan ikan segar dan secara tidak langsung menyokong usaha-usaha nelayan persendirian tanpa melalui orang tengah.

Jelas Omar lagi, pasar-pasar nelayan perlu diwujudkan de­ngan lebih banyak di seluruh negara sebagai langkah mengatasi orang tengah, walau bagaima­napun terdapat cabaran apabila usaha membinanya berdepan dengan kerenah birokrasi daripada pihak berkuasa negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN