Kalau UMNO berkeras, terpaksalah bertembung - Utusan Malaysia

Kalau UMNO berkeras, terpaksalah bertembung

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas tidak pernah berputus asa untuk mempertahan dan menyelamatkan Muafakat Nasional (MN) yang kini seolah-olah ‘retak menanti belah’.

Bagaimanapun, sekiranya UMNO masih berkeras untuk bergerak solo menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), parti itu dan Perikatan Nasional (PN) tidak ada pilihan selain terpaksa bertembung sesama sendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas dengan UMNO masih belum putus dengan rundingan dan perbincangan terus berjalan meskipun tidak sekerap sebelum ini.

Katanya, menjelang PRU15, menjadi harapan agar segala perselisihan faham dengan UMNO dapat diselesaikan seterusnya mencari titik persamaan menyelamatkan perpaduan ummah.

“Kita terus usaha mendekati UMNO demi menyelamatkan MN. Kita tidak mahu pembentukan MN yang menyatupadukan orang Melayu Islam itu terkubur hanya disebabkan sedikit perbezaan pandangan.

“Kita tidak bersedia berpisah dengan UMNO namun dalam masa sama tetap memperjuangkan penyatuan dengan kerjasama parti-parti Melayu lain,” katanya.

Penyatuan bersejarah parti Melayu Islam terbesar UMNO dan Pas menerusi MN sejak 2019 itu dilihat semakin menemui titik penghujung dengan UMNO diramal akan bergerak solo dalam menghadapi PRU15.

Antara halangan terbesar untuk UMNO kembali bersama Pas dalam MN itu apabila Pas enggan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam Perikatan Nasional (PN)

Malah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini dengan jelas telah membuat ketetapan akan terus bersama PN diketuai Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Sementara itu, Hashim berkata, PN terus diperkasakan menjelang PRU15 dengan rundingan termasuk di peringkat negeri-negeri sentiasa berjalan.

Katanya, di sebalik kerjasama dengan PN itu, Pas tetap bersama UMNO di dalam MN.

“PN juga mempunyai kerjasama dengan parti-parti dari Sarawak dan PN sudah bersedia sekiranya PRU15 diadakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×