TASEK GELUGOR: Sebanyak 16,200 puisi bertemakan sambutan Hari Guru diterima oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) tahun ini berbanding sasaran awal penyertaan iaitu sebanyak 6,000 puisi sahaja.
Pengarah JPNPP, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pencapaian luar biasa itu berikutan berjaya mengumpul jumlah puisi terbanyak itu sekali gus melayakkan ia diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR).
Menurut Abdul Rashid, semua puisi itu dihasilkan oleh murid dan pelajar sekolah di seluruh negeri ini sejak 19 Mei lalu hingga semalam dan merupakan inisiatif daripada warga JPNPP untuk sambutan Hari Guru tahun ini.
“Ini kali kedua kami (JPNPP) berjaya melakar kejayaan dalam MBOR kerana pada tahun sebelum ini, kami berjaya menghasilkan bilangan kek terbanyak sempena Hari Guru,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Apresiasi dan Penutupan Sambutan Hari Guru Peringkat Pulau Pinang 2022 di sini malam tadi yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Pada majlis tersebut, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas turut mengumumkan pemberian hadiah tambahan berupa tiket penerbangan untuk menunaikan umrah kepada kepada tokoh guru dan tokoh kepimpinan sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri tahun ini.
“Hadiah ini diberikan sebagai tanda penghormatan serta rasa kasih dan sayang kepada para guru yang banyak berjasa selama ini,” katanya yang turut mengumumkan pemberian hadiah wang tunai tambahan iaitu sebanyak RM1,000 bagi tokoh guru di peringkat daerah.
Terdahulu, pada program sambutan Hari Guru peringkat negeri yang diadakan di lokasi yang sama sebelah paginya, bekas Timbalan Pengarah Pendidikan
Sektor Perancangan Dan Pengurusan JPNPP, Ismail Mohd Said, 62, dinobatkan sebagai penerima anugerah utama iaitu Tokoh Guru tahun ini.
Pada masa sama, bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd. Jamil Mohamed, 61, dipilih sebagai penerima untuk anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan bagi peringkat Pulau Pinang.
Anugerah lain yang diberikan pada sambutan Hari Guru kali ini ialah Anugerah Guru Inovasi PDPR; Anugerah Guru STEM/TVET; Anugerah Guru Pendidikan Maya; Anugerah Guru Kokurikulum & Sukan; Anugerah Guru Seni Budaya; Anugerah Khas Pendidikan (Pencipta Kandungan Digital) serta Anugerah Khas Pendidikan (Inovasi Pendidikan).
Turut disampaikan ialah Anugerah Khas Pendidikan (Kesukarelawan); Anugerah Khas Pendidikan (Kepimpinan Rendah dan Menengah); Anugerah Guru Inovatif (peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah dan swasta); Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas dan lain-lain. –UTUSAN ONLINE










