GERIK: Kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion bagi membaiki sepenuhnya jalan ‘backlog’ atau jalan rosak di seluruh Semenanjung.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerja pembaikan di laluan yang dikenal pasti mengalami kerosakan dijangka siap tahun depan.
Menurutnya, bagi Jalan Persekutuan FT004, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli dekat sini yang mengalami kerosakan, kerajaan akan membina semula laluan tersebut dengan peruntukan sebanyak RM68 juta.
Beliau berkata, antara jenis kerosakan yang dikenal pasti di laluan itu ialah permukaan jalan, garisan cat jalan pudar, kerosakan lampu jalan dan kerosakan longkang yang mengakibatkan air bertakung.
“Sehingga Jun lalu, kementerian memperuntukkan sebanyak RM71.8 juta bagi tujuan kerja penyelenggaraan dan pembaikan seluruh Jalan Persekutuan di negeri Perak.
“Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak RM8.6 juta peruntukan diluluskan bagi tujuan penyelenggaraan di laluan Jalan Persekutuan Lebuhraya Timur-Barat bagi negeri Perak yang melibatkan kerja penyelenggaraan rutin, berkala pavemen, berkala bukan pavemen, senggara jambatan dan juga elektrik.
“Status semasa kerja penyelenggaraan di laluan itu berdasarkan peruntukan tersebut adalah 95 hingga 100 peratus dan kementerian melalui agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa komited dan berusaha untuk memperbaiki serta menyelenggara setiap kerosakan jalan yang telah dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika meninjau laluan Jalan Persekutuan FT004, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Fadillah berkata, kerajaan berdepan cabaran untuk mendapatkan peruntukan besar bagi memperbaiki jalan yang rosak.
Namun, katanya, kerajaan akan mencari jalan untuk mendapatkan peruntukan tersebut bukan sahaja untuk membaiki jalan rosak di Perak, tetapi di seluruh negara.
“Jalan backlog tarikh hayatnya perlu diperbaharui, tempoh jalan seperti ini hanya antara lima dan tujuh tahun, selepas itu asasnya tidak mampu untuk terus menampung bebanan, apatah lagi Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli yang sudah berusia 40 tahun,” katanya.
Fadilah berkata, aduan pengguna mengenai kerosakan di laluan itu diakui benar kerana jalan tersebut dibina 40 tahun lepas selain dilalui kenderaan berat.
“Jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah kerosakan di laluan itu ialah dengan membina semula laluan tersebut,” katanya.
Fadillah berkata, sejak Januari hingga Mei lalu, sejumlah 4,315 aduan kerosakan jalan raya diterima dengan 3,756 telah berjaya diselesaikan dan 559 lagi aduan sedang dalam tindakan. –UTUSAN










