Jaga nama baik negara di Tanah Suci -Permaisuri Agong - Utusan Malaysia

Jaga nama baik negara di Tanah Suci -Permaisuri Agong

TUANKU Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyantuni jemaah haji di Kompleks Haji Sepang, Movenpick KLIA. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Bakal jemaah haji negara ini yang terpilih menunaikan ibadah fardu itu di tanah suci dinasihatkan agar sentiasa menjaga nama baik Malaysia sepanjang berada di sana.

Demikian titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar ketika berkenan mencemar duli menyantuni jemaah haji di Kompleks Haji Sepang di sini hari ini.

Seri Paduka turut meminta jemaah supaya sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej baik negara ketika menjadi tetamu Allah.

“Jemaah juga dinasihatkan agar menjaga kesihatan, kebersihan diri dan memastikan semua peraturan dipatuhi selain memberi tumpuan dalam pelaksanaan ibadat,” titah Seri Paduka.

Tunku Azizah berangkat mewakili Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Sultan Ahmad Shah mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan 291 individu berkenaan yang merupakan jemaah kelompok KT25B berlepas menerusi penerbangan SV 5633 Saudi Airlines pukul 4.45 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Malaysia pada musim haji 1443 ini hanya mendapat kuota 14,306 individu selepas dua tahun menggantung penghantaran jemaah ekoran penutupan sempadan negara disebabkan isu Covid-19.

Mengulas lanjut, Seri Paduka mengingatkan bakal jemaah supaya dapat menguatkan ketahanan mental dan fizikal, saling bertoleransi serta memperbanyakkan bersabar di tanah suci.

“Perhimpunan besar seramai sejuta umat ini pastinya mencabar sekali gus mengajar erti bersabar dan tolong menolong tanpa mengira warna kulit, bahasa dan budaya,” titah Baginda lagi.

Tunku Azizah turut merakamkan tahniah dan menyeru semua bakal jemaah agar bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah setelah dua tahun Malaysia tidak dapat menghantar jemaah.

Pada masa sama, Seri Paduka bertitah meminta umat Islam terus bersatu hati dan tidak berpecah belah dalam kesatuan ummah serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk.   

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak terutamanya Lembaga Tabung Haji yang bekerja keras bagi memastikan kesemua 48 penerbangan ke sana dapat berjalan lancar. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN