PETALING JAYA: Istiadat mengarak panji-panji Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berlangsung pada 10 Jun 2022 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.
Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Hal Ehwal Awam, istiadat itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda.
“Sehubungan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terlibat secara langsung dalam beberapa aktiviti utama seperti perbarisan, tembakan meriam dan terbang lintas hormat pesawat udara,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sesi latihan telah bermula pada 3 Jun 2022 dan akan diteruskan sehingga 10 Jun 2022.
Antaranya aktiviti yang melibatkan tembakan meriam di sisiran Tasik (Promenade) Presint 16.
Ini termasuk penerbangan lintas hormat pesawat udara ATM di sekitar ruang udara Putrajaya adalah pada 5 Jun (8.30 pagi), 6 Jun (3.00 petang), 8 Jun (8.30 pagi) dan 10 Jun (8.30 pagi).
“Berlanjutan dari itu, ATM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas atau bimbang dengan bunyi tembakan meriam dan kehadiran pesawat udara ATM terbang rendah di kawasan sekitar Putrajaya.
“Latihan ini adalah merupakan aktiviti terkawal di bawah koordinasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.-UTUSAN ONLINE










