Harga ayam kekal tinggi, cecah RM12 sekilogram - Utusan Malaysia

Harga ayam kekal tinggi, cecah RM12 sekilogram

Saranan menteri mengurangkan permintaan terhadap ayam mendapat kritikan kerana sumber protein itu sahaja mampu dibeli rakyat berbanding ikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga ayam di pasaran terus dijual tinggi hingga mencecah RM12 sekilogram walaupun pelbagai langkah diatur kerajaan bagi menangani kenaikan harga bahan mentah itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber yang juga pembekal ayam berkata, dia memperoleh bekalan ayam pada harga RM7 sekilogram di peringkat ladang semalam berbanding harga sebelum ini RM6.80 sekilogram, melepasi harga siling ditetapkan kerajaan sebanyak RM5.60 sekilogram.

Katanya, pembekal juga hanya dibenarkan mengambil stok yang sangat sedikit sekali gus menyebabkan mustahil dapat memenuhi permintaan semua pelanggan yang memerlukan bahan mentah berkenaan.

“Malah, kami menerima notis daripada syarikat peladang yang menyatakan mulai malam ini hanya dapat mengambil satu bakul berisi tujuh ekor ayam hidup atas alasan bekalan dapat diberi secara berterusan.

“Lazimnya kami menerima 300 bakul berisi 10 ekor ayam sehari tetapi kini hanya 200 bakul berisi tujuh ekor ayam,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sehubungan itu katanya, peniaga terpaksa menjual ayam siap proses kepada peruncit antara harga RM9.20 hingga RM9.50 sekilogram.

“Jika mahu sedikit untung, peruncit pula menjual ayam mentah antara harga RM11 hingga RM12 sekilogram kepada pelanggan mereka,” katanya.

Di KOTA BHARU: Kenaikan mendadak harga ayam segar yang mencecah RM11.80 sekilo menyebabkan permintaan pengguna terhadap bahan mentah itu juga menurun.

Seorang peniaga ayam Pasar Pengkalan Chepa, Mohd. Faiz Afiq Hassan, 26, berkata, semasa bulan puasa harga ayam mencecah RM10.80 sekilogram tetapi selepas Aidilfitri hingga hari ini ia mencecah RM11.80 sekilogram.

“Sejak harga makin naik, saya nak habiskan jualan 100 ekor sehari pun susah,” katanya.

Di PASIR PUTEH: Ayam proses dijual pada harga RM9.50 sekilogram berikutan harga borong dari ladang turut meningkat selain menghadapi kekurangan bekalan berbanding sebelumnya.

Ketiadaan bekalan ayam di pasaran turut menyebabkan pengguna terpaksa membelinya di sekitar sempadan Kuala Besut, Terengganu dengan harga yang lebih mahal iaitu RM10.50 sekilogram.

Seorang peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Asrol berkata, peniaga runcit hanya mendapat lelah sekiranya ayam proses dijual dengan harga RM8.90 sekilogram.

Katanya, ayam yang peroleh daripada pemborong adalah dengan harga RM8.80 manaka peruncit menerima bekalan itu dengan harga RM9 sekilogram.

Di SUNGAI PETANI: Harga runcit ayam segar dijual antara RM11.80 hingga RM12 sekilogram jauh melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 di sini bermula semalam.

Peniaga ayam di Jalan Taman Ria Jaya yang mahu dikenali sebagai Abu berkata, dia tiada pilihan selepas pemborong memintanya menambah sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram ayam yang ditempah semalam.

“Saya terpaksa membelinya kerana perlu menyediakan bekalan untuk pelanggan tetap yang terdiri daripada pengusaha kedai makan di kawasan ini.

“Jika tidak mengikut kemahuan pemborong, saya bukan sahaja akan kehilangan pelanggan tetapi turut tidak memperoleh pendapatan dalam perniagaan ini, ” katanya.

Menurut Abu, harga ayam RM11.80 yang dijualnya tidak melibatkan keuntungan yang banyak kerana perlu menanggung kos pekerja dan beg plastik yang turut mengalami kenaikan.

Seorang peniaga ayam di Jalan Bakar Sampah di sini dan mahu dikenali sebagai Hassan berkata, isu kenaikan ini ‘luar biasa’ kerana harga ditetapkan pemborong RM9.20 setiap kilogram tidak pernah berlaku sepanjang lima tahun dia berniaga ayam.

“Alasan yang diberikan pemborong adalah disebabkan kenaikan harga dedak melebihi RM120 seguni seberat 50 kilogram menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga ayam segar atau ayam proses,” katanya.

Halim bukan nama sebenar yang merupakan peniaga ayam di pasar pagi Taman Ria Jaya berkata, dia terpaksa menjual ayam RM12 sekilogram semalam kerana jika tidak
berbuat demikian dia akan mengalami kerugian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN