PETALING JAYA: Perpecahan dalam UMNO berisiko semakin besar ekoran keputusan parti menggugurkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menjelaskan, Tajuddin bukanlah seorang yang calang-calang untuk digugurkan begitu sahaja kerana beliau seorang pemimpin yang amat berpengaruh dalam politik, baik dalam atau di luar parti.
“Ini menimbulkan keretakan secara terbuka, sebab pemecatan ini bukan biasa-biasa, Tajuddin adalah Ahli Parlimen Pasir Salak, beliau seorang yang berpengaruh besar dan pemimpin yang lantang bersuara.
“Kalau ini berlaku, beliau mungkin boleh bertindak tanpa diduga. Malah, akan timbul spekulasi, ada pertembungan dua kumpulan dalam parti,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan pengguguran Tajuddin sebagai ahli MT.
Bagaimanapun, Mazlan berkata, keputusan itu berkait rapat dengan kenyataan Tajuddin yang enggan menyokong pendirian parti berhubung tarikh PRU15.
“Beliau berlawanan dengan kehendak dan hala tuju parti. Jadi, kalau tidak sehaluan dengan parti, buat apa dia duduk dalam MT lagi” katanya.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengguguran Tajuddin dibuat mengikut peraturan dan Perlembagaan parti.
“Tentunya beliau tahu apa yang telah dilakukan dari segi kenyataan-kenyataan, bahan-bahan ucapan atau ceramah dalam mesyuarat tertutup sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini semalam.
Menurut beliau, walaupun ahli MT boleh berbeza pandangan dalam perbincangan, mereka perlu mematuhi segala ketetapan dan keputusan parti. – UTUSAN










