Gerakan bantah cadangan kerja 4 hari seminggu - Utusan Malaysia

Gerakan bantah cadangan kerja 4 hari seminggu

OH TONG KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membantah cadangan pelaksanaan bekerja empat hari seminggu kerana pengurangan hari bekerja akan menyebabkan produktiviti negara merosot, seterusnya memberi impak kepada pembangunan negara.

Apatah lagi, ujar Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong, Malaysia sudah pun merupakan salah sebuah negara yang mempunyai cuti umum yang paling banyak di seluruh dunia.

Kata beliau, pihak swasta dan kerajaan sudah lama melaksanakan dasar bekerja lima hari seminggu, maka, tidak ada keperluan untuk kerajaan membuat perubahan atas dasar sedia ada.

”Selain daripada cuti umum, cuti tahunan, cuti sakit, cuti urusan peribadi, cuti bersalin dan cuti tanpa gaji yang dinikmati pekerja, setiap negeri juga mempunyai cuti khas masing-masing.

”Oleh itu, negara kita tidak sesuai melaksanakan dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu yang bakal memberi kesan kepada produktiviti negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan kaji selidik oleh syarikat Qualtrics mendapati 62 peratus pekerja sepenuh masa di negara ini lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu.

Kebanyakan responden percaya, bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup bekerja (86 peratus), kesejahteraan mental (82 peratus) dan produktiviti (83 peratus) selain membuatkan mereka rasa lebih setia kepada majikan.

Menurut Tong Keong, menurut data purata pendapatan bulanan rakyat Malaysia mencecah USD789 (atau kurang daripada RM3,500) pada April 2022.

”Ini menunjukkan pendapatan per kapita di Malaysia masih rendah sekali gus bukan masa sesuai untuk negara melaksanakan dasar bekerja empat hari seminggu.

”Kerajaan harus melihat isu ini secara menyeluruh dan menelitinya secara mendalam supaya tidak memberi impak kepada industri yang kini dalam status pemulihan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya