JOHOR BAHRU: Keputusan kerajaan menggantung kelulusan yang diberikan kepada Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia diyakini tidak akan menjejaskan bekalan daging lembu di negara ini, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, hal itu kerana permintaan tinggi terhadap daging lembu hanya melibatkan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan bukannya Aidiladha.
Menurutnya, permintaan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha khususnya melibatkan lembu hidup.
“Berkenaan penggantungan lesen berkenaan, tidak timbul masalah kekurangan bekalan kerana bagi sambutan Hari Raya Aidiladha ini, permintaan lebih terarah kepada lembu hidup berbanding daging.
“Sementara itu, penggantungan itu juga tidak menjadi satu masalah kerana bekalan daging telah ditampung dari negara-negara lain,” katanya ketika ditemui di Pusat Islam Iskandar, di sini malam semalam.
Pada 14 Mei lalu, kerajaan menggantung serta-merta kelulusan yang diberi kepada TFI Lobethal, Australia sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh berkaitan dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal di loji penyembelihan itu.
Perkara itu diputuskan sebulat suara dalam satu sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Department of Agriculture, Water and The Environment (DAWE), Australia.
Tambah Idris, siasatan tentang perkara itu sedang dijalankan dengan pihak audit daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut berkunjung ke loji sembelihan berkenaan dalam waktu terdekat.
“Soal sama ada syarikat berkenaan akan dilantik semula selepas ini atau tidak bergantung dengan hasil siasatan dan juga budi bicara pihak kerajaan,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










