PETALING JAYA: Fasiliti kesihatan swasta boleh memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan daripada fasiliti kesihatan kerajaan terdekat atau fasiliti kesihatan swasta lain.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, fasiliti kesihatan kerajaan boleh mempertimbang untuk meminjamkan bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana dengan memastikan bekalan ubat mencukupi untuk kegunaan harian di fasiliti kesihatan terbabit.
Beliau berkata, langkah itu setelah mengambil maklum dan memandang serius isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti di seluruh negara yang dilaporkan baru-baru ini.
“Sekiranya perlu, pesakit boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan. Namun demikian, pesakit mungkin memerlukan perubahan rejimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk.
“Pesakit juga boleh membeli ubat-ubatan tersebut dari farmasi komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, kementeriannya juga telah memulakan perkongsian maklumat senarai ubat-ubatan yang mengalami gangguan dan cadangan produk alternatif bagi ubat-ubatan tersebut dengan pengamal perubatan swasta, hospital swasta dan farmasi komuniti.
“Langkah ini dilakukan untuk mengurangkan impak kepada situasi semasa dan penggunaan secara optimum ubat-ubatan generik lain sebagai alternatif yang masih mempunyai bekalan di pasaran,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan isu kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal yang dikatakan melibatkan rawatan demam, selesema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). –UTUSAN ONLINE