GEORGETOWN: Agensi-agensi di bawah kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu memainkan peranan membantu pengguna dengan memasarkan ayam pada harga lebih berpatutan di pasaran.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, FAMA mesti bertindak sebagai pesaing kepada penternak yang dikategorikan sebagai pemain gergasi ayam bagi menstabilkan harga.
”Permainan harga oleh penternak yang dikategorikan sebagai pemain gergasi pada masa ini amat tidak adil kepada pengguna.
”Jadi, sudah sampai masanya agensi kerajaan seperti FAMA dan lain-lain bertindak menstabilkan harga ayam dengan memasarkan harga ayam yang lebih rendah kepada pengguna sehingga harganya diturunkan oleh penternak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Harga ayam semakin tidak terkawal apabila mula dijual dari RM10.40 sehingga RM11.50 sekilogram, sekali gus melepasi had siling RM8.90 yang ditetapkan.
Selain itu, para penternak yang dikategorikan sebagai pemain gergasi ayam mendakwa harga ladang RM7 itu terlalu rendah dan mahu menaikkan harga pasaran ayam lebih RM10 sekilogram bermula Julai ini.
Menurut Subbarow, jika harga ayam naik sehingga lebih RM10 sekilogram sudah tentu harga makanan yang dijual di restoran, gerai dan sebagainya akan turut naik sekali gus memberi kesan buruk kepada pengguna.
”Rantaian makanan akan menerima kesan akibat daripada kenaikan harga ayam ini kerana peniaga juga terpaksa membeli ayam pada harga yang mahal lalu menjualnya semula dengan harga yang tinggi.
”Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana ekonomi rakyat belum pulih sepenuhnya selepas pandemik Covid-19,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan mesti bertindak tegas dengan tidak membiarkan penternak menaikkan harga pasaran ayam lebih RM10 bermula Julai ini.
”Kerajaan jangan akur dengan permintaan penternak kerana kita bimbang banyak lagi barangan makanan serta keperluan akan dinaikkan sesuka hati oleh pengeluar tanpa kawalan,” katanya. –UTUSAN ONLINE