SHAH ALAM: Lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, dalam misi mewakili negara untuk ke Pertandingan Formula 1 (F1) in Schools peringkat antarabangsa di London, United Kingdom pada 15 Julai nanti.
Pasukan Ecolest9 dari sekolah berkenaan yang terdiri daripada Wan Ilhan Erina Wan Zulkifli,18, Aleesya Abdul Raman,16; Sharifah Farihah Nadra Syed Zulkhairul Iskandar,17; Irdeena Sofea Nazrul Iriwan,17; dan Muhammad Shahazim Shamsul Nahar,17, dijangka bersaing dengan 50 pasukan lain dalam perlumbaan kereta mini F1.
Pertandingan tersebut akan menggunakan kemahiran pelajar dalam aspek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik untuk memastikan kereta lumba rekaan dan selenggaraan mereka boleh bergerak pantas dalam litar.
Ketua pasukan, Wan Ilhan Erina berkata, pasukannya merupakan juara dalam pertandingan tersebut pada awal tahun ini yang diadakan di di Terengganu.
“Kami berharap mampu untuk bersaing dengan 50 pasukan di Litar Silverstone nanti sekali gus menjulang nama negara di persada dunia.
“Seiring inovasi dalam teknologi formula satu, kita berharap dapat menewaskan pasukan hebat dari Australia dan UK sendiri,” katanya ditemui pada Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama Pasukan Ecolest9, Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Bakat Murid dan Sektor Sumber Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPN Selangor, Yasmin Kamarudin berkata, beliau berharap pasukan tersebut berjaya mencatat kejayaan cemerlang dalam pertandingan tersebut.
“Pasukan Ecolest9 membuktikan program di bawah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mampu dilaksanakan walaupun ada pihak yang menganggap program STEM sebagai sesuatu yang berat.
“Idea oleh pasukan Ecolest9 untuk mewujudkan STEM Hub Negeri Selangor dengan kerjasama Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid JPN Selangor bersama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPN Selangor dan Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam merupakan satu usaha yang baik dalam memangkin peningkatan penglibatan murid dalam bidang STEM dengan lebih aktif,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










