PETALING JAYA: Desakan supaya Lembaga Unggas diwujudkan bagi mengawal dan menyelia industri unggas negara semakin kuat disuarakan dengan pelbagai pihak meminta penubuhannya disegerakan.
Penubuhan lembaga itu yang disuarakan sejak April lalu diyakini menjadi kunci penyelesaian isu berkaitan bekalan ayam dengan berteraskan perincian mendalam dan strategi lebih menyeluruh.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, kewujudan lembaga tersebut adalah satu keperluan mendesak yang perlu ditubuhkan segera berikutan tiada pengawalan terhadap beberapa perkara dalam rantaian bekalan ayam terutama berkaitan harga anak ayam.
Katanya, ini kerana harga anak ayam tidak dipantau oleh mana-mana jabatan manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pula hanya memantau tumbesaran ayam.
Malah, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya memantau harga siling ayam, tetapi tidak dapat menghalang kenaikan harga yang berlaku di rantaian bekalan ayam.
“Ayam di pasar sekarang berharga lebih RM10 yang mana mengikut harga sepatutnya adalah RM8.90. Kalau pembekal atau penternak menghantar ke pasar dengan harga RM8, macam mana penjual boleh jual dengan RM8.90?
“Kita bukan nak menghalang pengusaha dapat sedikit keuntungan ditambah harga pemakanan yang naik, mereka terpaksa menaikkan harga jualan. Tetapi bagaimana pula dengan harga anak ayam yang boleh mencecah RM3 berbanding RM1 lebih dahulu? Mengapa harga anak ayam naik mendadak sedangkan tidak ada perkara yang boleh menyebabkan kenaikan itu boleh berlaku.
“Sebab itu perlu kawal dan mengambil tahu berkenaan rantaian pembekal dari awal sehingga pengguna, jangan jaga harga pengguna sahaja,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Utusan Malaysia pada April lalu secara konsisten mendedahkan tentang kartel yang wujud dalam industri ayam serta mencadangkan keperluan penubuhan Lembaga Unggas, namun seolah-olah tiada tindakan lanjut daripada kerajaan.
Malah, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pergerakan Pemuda UMNO juga menggesa perkara sama dengan kadar segera, tetapi belum ada pertimbangan serius tentang syor tersebut.
Terbaharu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat kelmarin turut mencadangkan kewujudan lembaga tersebut bagi menyelesaikan segera isu kenaikan harga secara holistik, bersepadu dan berkesan.
Semantara itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan dan tepat untuk menangani kenaikan harga barangan dan inflasi yang berlaku ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, sesuatu polisi itu perlu diperhalusi dan diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang pusingan U yang jelas menggambarkan kerajaan tidak profesional.
“Kerajaan harus mengadakan lembaga atau jawatan kuasa khas untuk meninjau dan memantau serta dalam masa sama mengadakan polisi yang betul-betul mesra atau prihatin rakyat.
“Saya tahu inflasi berlaku di seluruh dunia, tetapi kerajaan kena ambil tindakan untuk kawal supaya rakyat tidak merasai beban yang banyak akibat inflasi. Kita harus bertimbang rasa kepada beban yang ditanggung pengguna pada masa kini.” katanya. – UTUSAN










