PETALING JAYA: Aktiviti pemberian dana politik hanya ‘sah’ diberikan kepada organisasi yang berdaftar dan bukan individu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, elemen penting itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dalam Akta Pendanaan Politik yang akan dibentuk nanti.
Katanya, jika dana politik dikawal rapi dengan peraturan yang tepat dan jelas, maka tidak timbul lagi persoalan mahu pun keraguan mengenai asal-usul sumber pendanaan berkenaan.
Menurutnya, pendanaan politik tidak boleh disekat kerana turut diamalkan di negara-negara maju bagi menyuburkan proses demokrasi, namun pelaksanaannya perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan termasuk pengisytiharan dana atau jumlah di samping nama parti atau organisasi yang menerima.
“Rasuah politik itu luas maksudnya termasuk membeli undi, namun persoalannya ialah daripada mana sumber dana tersebut diperolehi bagi mengukuhkan parti politik mahu pun membiayai kempen pilihan raya.
“Sehubungan itu, saya berharap jawatankuasa terlibat dapat memperincikan elemen-elemen itu termasuk syarat-syarat jelas di samping penalti atas setiap kesalahan dilakukan, supaya semua pihak faham apa yang boleh dan sebaliknya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disebut sebagai salah seorang penerima dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) berkaitan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu dalam reaksi balasnya menafikan kenyataan bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun.
Malah, prosiding itu turut menamakan tiga anggota Kabinet iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di samping dua bekas menteri iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.
Wan Ahmad berkata, penggubalan Akta Pendanaan Politik bukan sahaja mampu meningkatkan integriti politik negara dan PRU, malah menyekat aktiviti pengubahan wang haram dan lain-lain lagi.
Beliau juga mencadangkan agar perkara berkaitan pembiayaan politik turut dimasukkan dalam akta berkenaan selaras untuk mewujudkan kesamarataan dalam gelanggang berpolitik dan berkempen.
Sementara itu, tegasnya, Akta Pendanaan Politik sepatutnya sudah lama dilaksanakan di Malaysia kerana sama penting dengan Akta Lompat Parti yang menjadi trend dalam kalangan wakil rakyat pada masa ini.
Bagaimanapun, beliau yakin jawatankuasa khas yang dibentuk untuk menyediakan draf itu sudah membuat penyelidikan lengkap termasuk turut merujuk dengan akta sama di luar negara.
“Dalam masa sama, akta ini mampu menyekat kemasukan dana asing yang mahu campur tangan dalam perjalanan politik negara-negara kecil demi kepentingan mereka.
“Lebih 100 negara di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi melalui proses PRU sudah mewujudkan perundangan khusus bagi mengawal selia urusan di samping aktiviti pendanaan dan pembiayaan politik,” katanya.
Menurut Wan Ahmad, keberkesanan dan kejayaan Akta Pendanaan Politik bagaimanapun bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang dan jika pihak berwajib tidak melaksanakannya dengan tepat tentu ada ketirisan berlaku. – UTUSAN










