KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berbincang tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersama Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menyatakan perjumpaan antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ‘lima teratas’ bagi menentukan pembubaran Parlimen akan berlaku bila bila masa sahaja.
“Biar saya dan PM bincang dahulu untuk PRU15 ini, PM juga akan bincang dengan lima teratas (UMNO) mengenainya,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional (BN) Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, semalam.
Zahid meneruskan ucapan dengan melontarkan kata kata semangat yang menggesa Perdana Menteri segera menetapkan tarikh PRU15 terutamanya dalam masa terdekat.
“PM, kami mahukan PRU15 secepat yang boleh, PM, kami sedia menghadapi PRU15, PM, kami percayakan kamu,” katanya.
Namun, Ahmad Zahid mahu BN bergerak ke hadapan dalam usaha mengembalikan Malaysia yang asal dan perlu melakukan anjakan paradigma dengan proses pengislahan dalaman.
“Pertama, di peringkat dalaman, BN mesti bersedia untuk keluar daripada kerangka lama dari segi formula pengagihan kerusi dalam menghadapi PRU15
“Sementara kita sentiasa bertoleransi untuk memastikan wakil-wakil komponen dalam membentuk kerajaan yang majmuk, formula yang saya perkenalkan dalam dua PRN terkini iaitu prinsip menang, diterima dan disukai (WALI) ternyata menggamit keyakinan rakyat kepada BN,” katanya.
Bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN, Zahid memberi kepercayaan penuh kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menggerakkan komponen seawal mungkin.
“Tok Mat akan mengetahui kerja pusat untuk turun ke negeri negeri bukan mahu mengenal pasti calon tapi meninjau jentera pilihanraya, Tok Mat saya mahu jawatankuasa setiap peringkat diaktifkan segera. Kalau ada sakit, ubat cepat,” katanya. – UTUSAN











