fbpx

Bimbang kartel monopoli pendaratan ikan -LKIM

SYED Abu Hussin Syed Hafiz Abdul Fasal (barisan belakang, dua dari kiri) bersama pemenang pertandingan memancing Kelubong Challenge Tertutup Parlimen Bukit Gantang semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS

BUKIT GANTANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)  akan bertindak membeli ikan dalam skala besar bagi mengelakkan kartel memonopoli ketika musim pendaratan ikan yang banyak ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Syed Hafiz Abdul Fasal berkata, hal ini kerana bulan Jun hingga Oktober merupakan musim pendaratan ikan yang banyak.

Katanya, jika tiada langkah segera diambil, dibimbangi berlaku aktiviti kartel dalam memonopoli pembelian ikan dengan kuantiti yang banyak ketika hasil laut itu didaratkan.

“Sekiranya itu berlaku, maka, kartel-kartel ini akan menyimpan ikan-ikan tersebut dan akan menyebabkan harga ikan di pasaran, melambung.

“Secara tidak langsung ini akan membuatkan rakyat makin terkesan dengan kenaikan harga ikan di pasaran,” katanya kepada pemberita  pada penutup pertandingan memancing Kelubong Challenge Tertutup Parlimen Bukit Gantang di Kampung Kelubong di sini semalam.

Menurutnya, bulan Jun hingga Oktober merupakan musim pendaratan ikan dalam kuantiti yang banyak dan amat sesuai untuk LKIM membeli dan menyimpan dalam peti sejuk beku agar dapat dikeluarkan ketika musim tengkujuh bagi menjamin kestabilan harga ikan di pasaran.

Menurutnya, pendaratan ikan konsisten pada musim ini walau pun beberapa minggu lalu berlaku ribut.

“Kita akan memantau pendaratan ikan supaya ikan-ikan yang didaratkan ini dapat dipasarkan terus.

“Cuma yang agak membimbangkan ialah aktiviti kartel yang memonopoli dengan membeli dalam kuantiti yang banyak menyebabkan ikan kurang di pasaran hingga menyebabkan harga ikan melambung,” katanya.

Menurutnya, beliau berulang kali meminta agar LKIM perlu menyimpan stok bekalan ikan.

“LKIM perlu memainkan peranannya menyimpan stok agar bekalan ikan mampu bertahan lama dan mengelakkan kartel memonopoli harga pasaran.

“LKIM perlu bertindak segera dalam mengambil langkah membuat stok bekalan pada musim pendaratan ikan yang banyak seperti pada masa ini,” katanya.

Sementara itu, Syed Abu Hussin  berkata, tiada isu kekurangan pekerja nelayan laut dalam.

Katanya, ini kerana sempadan negara dibuka dan warga asing dibawa masuk ke negara ini khususnya dari negara Thailand.

“Pekerja asing yang masuk atau dibawa masuk untuk bekerja sebagai kru bot laut dalam di negara ini akan menjalani ujian  saringan air kencing terlebih dahulu bagi memastikan mereka ini tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya. – UTUSAN

 

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!