Ahmad Danish Hakeem individu ceria, suka membantu orang lain - Utusan Malaysia

Ahmad Danish Hakeem individu ceria, suka membantu orang lain

GAMBAR kenangan Malia Mira Ramlan bersama Allahyarham Ahmad Danish Hakeem Hanafiah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kenalan baik Allahyarham Ahmad Danish Hakeem Mohamed Hanafiah, 19, yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di ruang parkir sebuah kondominium di Cheras pada 29 Mei lalu menyifatkan sahabatnya itu merupakan seorang yang ceria, dan selalu membantu rakan-rakannya.

Malia Mira Ramlan, 35, berkata, hubungannya dengan Allahyarham juga sangat akrab malah seperti adik beradik sehinggakan Ahmad Danish Hakeem sering berkongsikan pelbagai perkara dengannya.

“Arwah sudah seperti adik saya sendiri, malah, dalam kalangan rakan-rakan kami, dia yang paling muda. Kami juga panggil dia sebagai ‘Acu’.

“Arwah bersekolah di Sekolah Seni Malaysia di Kuala Lumpur, namun, keluarganya pula tinggal di Nilai. Sekiranya ada apa-apa masalah atau keperluan arwah selalu memaklumkan kepada saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Ahmad Danish Hakeem dan rakannya, Akmalharith Damia Zainul ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah MPV jenis Toyota Alphard di tempat letak kereta sebuah kondominium di Cheras selepas dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing sebelum itu.

“Arwah baik dengan semua orang termasuk dengan kawan-kawan dan cikgu sekolah. Dia tidak pernah tinggikan suara malah sentiasa ceria.

“Arwah juga rapat dan sering menyokong aktiviti penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh dan Hikari Riders kerana arwah suka bergaul dan mendekatkan diri dengan orang lain” katanya lagi yang turut menemani ibu kepada Allahyarham di bilik mayat hospital sebelum ini.

Malia Mira dalam pada itu memaklumkan, Allahyarham Akmalharith Damia merupakan kenalan arwah Ahmad Danish Hakeem di sekolah.

“Ahmad Danish Hakeem merupakan anak sulung daripada dua beradik dan merupakan pelajar Tahun Satu Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Saya juga difahamkan, rakan Allahyarham yang turut berada di dalam kenderaan itu merupakan kenalan sekolahnya,” katanya lagi.

Dia turut memberitahu, jenazah Ahmad Danish Hakeem selamat dikebumikan pada pukul 7 malam, 30 Mei lalu di Tanah Perkuburan Islam Bandar Enstek, Nilai di sini.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan keluarga Allahyarham di rumah mereka di Bandar Enstek di sini tidak berhasil apabila tiada sesiapa berada di rumah tersebut. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya