KUANTAN: Lebih 8,000 klinik swasta dan farmasi dikhuatiri terputus bekalan ubat-ubatan asas termasuk untuk rawatan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ekoran permintaan tinggi dan kekurangan bahan asas pembuatannya.
Pada masa ini dilaporkan lebih 30 peratus bekalan itu berkurangan di klinik-klinik swasta.
Kekurangan ubat-ubatan seperti paracetamol, batuk dan selesema dikesan sejak Januari lalu dan dijangka berlarutan sehingga hujung tahun.
Difahamkan kekurangan itu dipengaruhi permintaan tinggi dan pada masa sama pengilang menghadapi kekurangan bahan asas pembuatan ekoran sekatan pergerakan di Shanghai, China disebabkan Covid-19.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Premier Malaysia (MPCAM), Dr. Raj Kumar Maharajah berkata, buat masa ini, ubat selesema langsung tiada bekalan.
“Berapa bulan lalu, ubat demam atau paracetamol langsung tiada. Jadi kami di klinik tak boleh buat apa-apa jika pesakit datang ke klinik,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Dr. Raj Kumar berkata, semalam beliau membuat tempahan 30 jenis ubat malangnya 15 daripadanya tiada stok.
“Macam mana ini berlaku, ubat yang asas sahaja saya minta, ubat selsema, ubat mentah, ubat buasir, semua tiada,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak pula berkata, kekurangan ubat-ubatan itu juga boleh menjejaskan rawatan penyakit HFMD yang semakin meningkat ketika ini. – UTUSAN










