PUTRAJAYA: Gerakan Belia 4B Malaysia mendesak kerajaan agar bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan India ekoran isu penghinaan biadab ke atas Rasulullah SAW.
Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin malahan berkata, Malaysia juga wajar memboikot segala produk dari India bagi mengajar negara itu untuk lebih menghormati Islam.
“Selama ini Malaysia dilihat berlembut dan bertolak ansur membiarkan umat Islam yang cuma minoriti di sana dihina oleh pihak pemerintahnya tetapi kini puak itu sudah melampaui batas.
“Justeru demi maruah kesucian agama Allah, lebih baik Putrajaya putus diplomatik dengan New Delhi sebagai tanda protes dan ajar mereka beradab,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau merujuk bantahan banyak negara Islam susulan dua pemimpin rapat parti pemerintah India yang kurang ajar berani memperlekehkan imej Nabi Muhammad SAW secara terbuka.
Bahkan beberapa kerajaan di rantau Asia Barat memanggil duta India bagi menyerahkan nota protes selain pelbagai rangkaian pasar raya memulaukan produk negara itu dari gedungnya.
Meskipun Kementerian Luar India menafikan isu panas itu sebagai pendirian rasmi negaranya, namun dua individu tersebut pula amat rapat dengan Perdana Menteri, Narendra Modi sendiri.
Mengulas lebih lanjut, Fahami Ashrof berkata, Malaysia sepatutnya mencontohi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang tampak lebih bersemangat bagi mewakili 57 negara anggotanya.
“Di manakah suara Malaysia yang konon lantang dalam isu Palestin tetapi dengan India pula kita macam tidak berani hanya dek bimbang boleh jejas hubungan ekonomi,” tegasnya kesal.
Setakat ini, Wisma Putra belum lagi memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy bagi menyampaikan nota diplomatik mengenai kekesalan Malaysia atas insiden tersebut.
Senario itu ujar beliau, telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan umat Islam di Malaysia seolah-olah khuatir pelaburan besar firma dari India di negara ini yang bernilai RM12.6 bilion.
Ia melibatkan lebih 150 syarikat dalam pelbagai sektor besar yang menyumbang kepada 20,000 peluang pekerjaan dan menjadikan India sebagai antara 10 rakan dagang utama Malaysia. – UTUSAN










