KOTA BHARU: “Sepanjang tempoh 10 bulan selepas pemergian arwah, kami berjaya mengumpul bukti-bukti meragukan berhubung kemalangan itu”.
Demikian tegas Mohd. Faisal Rohban Ahmad, 48, abang sulung kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau memberitahu, antara maklumat itu berkaitan perbualan dengan saksi kejadian, kesan impak kemalangan, urusan membawa pulang jenazah ke tanah air dan beberapa lagi perkara lain yang tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Kesemua ini hasil siasatan dilakukan pihak peguam yang telah dilantik oleh pihak keluarga dari firma guaman Shaharuddin Hidayu & Marwaliz iaitu Leftenan Kolonel (B) Azhar Ahmad untuk mengendalikan kes tersebut. Sebab itulah ia mengambil masa yang agak lama.
“Ini bukan kes yang main-main kerana melihatkan kematian. Jadi peguam memerlukan asas yang kukuh sebelum membuat laporan bagi membolehkan satu-satu tindakan diambil. Lagipun, kejadian itu berlaku di luar negara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, keluarga Allahyarham Faziani membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung prosedur membawa pulang jenazah usahawan itu yang didakwa tidak mengikut tatacara.
Menurut Azhar, proses membawa pulang jenazah ke tanah air itu menimbulkan keraguan selepas dilakukan pada hari yang sama dengan kemalangan iaitu pada 18 Mei 2019 dan tindakan itu didakwa mempunyai unsur ketidakpatuhan kepada prosedur.
“Untuk makluman, salah satu syarat wajib dalam urusan membawa pulang jenazah yang meninggal dunia di luar negara adalah mempunyai surat kebenaran daripada pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand.
“Namun dalam kes ini tiada dikeluarkan surat berkenaan. Begitu juga dengan tempoh yang singkat untuk urusan membawa pulang jenazah, kebiasaannya mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari tetapi tidak sampai 12 jam jenazah sudah tiba di negara ini,” katanya.
Mohd. Faisal memberitahu, ketika itu, keadaan untuk mendapatkan bukti-bukti lain menjadi rumit apabila pandemik Covid-19 melanda memaksa sempadan Malaysia-Thailand ditutup selain berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, susulan itu pihak peguam dan keluarga tidak boleh ke lokasi kemalangan dan bertemu saksi serta pihak Konsulat Malaysia di Songkhla bagi membantu proses ini.
“Kami tidak mengatakan kematian itu bukan berpunca daripada kemalangan. Namun, kami mengesyaki ada unsur-unsur lain di sebalik kemalangan itu yang membawa kepada kematian arwah.
“Besar harapan kami agar, polis dapat menyiasat kes ini dengan sebaik-baiknya menerusi bantuan Polis Diraja Thailand demi keadilan kepada semua,” jelasnya.
Sementara itu, Pemangku Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung laporan yang dibuat ahli keluarga Allahyarham.
Katanya, siasatan itu lebih menjurus kepada kebenaran laporan polis yang dibuat ahli keluarga mangsa.
“Soal siasatan berkait kematian dan kejadian bawah bidang kuasa pihak berkuasa negara jiran memandangkan kemalangan itu tidak berlaku di sini (Malaysia).
“Maklumat yang diperoleh akan dihantar ke Wisma Putra dan pihak Interpol untuk membantu siasatan pihak berkuasa negara jiran. Bagi mengelak sebarang isu, beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan kita tidak mahu masyarakat membuat sebarang spekulasi sendiri,” katanya. –UTUSAN