PUTRAJAYA: Tokoh agama terkenal, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bakal bertemu ramai pemimpin pelbagai agama pada forum Liga Dunia Muslim (MWL) di Riyadh, Arab Saudi.
Menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi beliau, bekas Mufti Wilayah Persekutuan tersebut memaklumkan dirinya dijadualkan berlepas ke ibu kota negara berkenaan hari ini.
“Kehadiran saya ini bagi memenuhi jemputan khusus terus daripada Setiausaha Agung MWL, Sheikh Dr. Mohammad Abdulkarim Al-Issa bagi menyertai program khas tersebut,” katanya.
Organisasi hal ehwal Islam bertaraf global itu ditubuhkan pada 1962 lalu serta beribu pejabat di Makkah, Arab Saudi yang disertai lebih 1,200 ulama dan pemimpin dari 139 buah negara.
Acara ini bertemakan ‘Memperkukuh Nilai-nilai Kebersamaan Antara Penganut Agama’ dan ia adalah susulan forum hampir sama di Washington DC, Amerika Syarikat pada 24 Mac lalu.
Forum Agama Antarabangsa 2022 itu meraih sambutan luar biasa daripada pelbagai tokoh Kristian negara-negara kuasa besar dunia tersebut dan membuktikan Islam ialah agama perdamaian.
Mengulas lanjut, Zulkifli menambah, forum terbaharu itu pula dijangka menghimpunkan ramai ulama Islam, pemimpin aneka agama lain dan pihak yang berkepentingan dari seluruh dunia.
“Ia bagi membincangkan usaha perpaduan dan persefahaman antara agama di peringkat sejagat,” katanya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.
Kenyataan beliau menjelaskan bahawa pemilihannya disebabkan hubungan utuh peribadi antara dirinya dengan dunia Arab selain pembabitan aktif dalam pelbagai persidangan Islam.
Malah, beliau dikenali menerusi keanggotaan beberapa badan antarabangsa, sekali gus menzahirkan keyakinan tinggi pihak luar dalam menyampaikan segala idea sumbang saran.
Pandangan Zulkifli sebagai mewakili Malaysia adalah penting kepada kemajuan Dunia Islam dan menjadikan kejayaan negara ini selaku model umat Islam contoh di peringkat global.
Akhir tahun lalu, beliau julung kali tampil di platform antarabangsa bagi mewakili Malaysia pada Persidangan Kumpulan Wawasan Strategik Dunia Islam-Rusia di Jeddah, Arab Saudi.
Ia menjadi kemunculan sulung beliau di arena global setelah tidak lagi memegang jawatan Kabinet sejak akhir Ogos tahun lepas dalam forum yang disertai 33 tokoh Muslim sejagat.
Selepas itu, beliau menyertai mesyuarat Majlis Hukama’ Al-Muslimin di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu selepas dilantik sebagai ahlinya oleh Syeikh Al-Azhar, Dr. Ahmad al-Tayyib.
MWL ada jaringan baik dengan Malaysia sebelum 2018, bahkan Mohammad Abdulkarim sendiri ada hubungan akrab dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.-UTUSAN ONLINE










