MELAKA: Zoo Melaka akan memperkenalkan burung Toco Taucan berharga RM30,000 seekor yang didapatkan dari Amerika Selatan pada hujung tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, burung itu akan dipertontonkan kepada orang ramai dalam suasana gua yang dijangka siap dibina menjelang Disember depan.
Jelasnya, setakat ini kira-kira 20 ekor Toco Taucan telah dibawa masuk ke negara ini.
“Toco Taucan Cave ini merupakan salah satu daripada empat produk baharu yang diperkenalkan pada tahun ini.
“Istimewanya, burung ini kita bawakan khas dari Amerika Selatan dengan harga RM30,000 seekor untuk perkongsian ilmu pengetahuan mengenai haiwan,” katanya dalam sidang akhbar di Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shadan memberitahu, tiga lagi produk baharu akan diperkenalkan adalah Aviary Feeding, Wallaby dan Wildlife Cafe.
“Di Aviary Feeding, pengunjung hanya perlu membayar tiket RM5 untuk masuk ke dalam taman dan mencipta pengalaman memberi makan kepada 70 ekor burung jenis Lorries dan Sun Cunure.
“Ketiga-tiga produk baharu ini telah dibuka sejak seminggu lalu dengan menelan kos sebanyak RM5 juta, termasuk pembinaan Wildlife Cafe yang menyediakan pelbagai sajian popular seperti shell out dan char kuetiau,” katanya.
Ujarnya lagi, Zoo Melaka juga telah menambah sepasang burung Cenderawasih atau Bird Of Paradise di taman berkenaan.
Dalam pada itu, Shadan berkata, sepanjang sembilan hari sambutan Hari Raya Aidilfitri, Zoo Melaka menerima jumlah pengunjung seramai 30,000 orang, manakala sebanyak 300,000 tiket terjual sejak Januari lalu.
Katanya, dengan penambahan tiga produk baharu yang telah dibuka itu, jumlah pengunjung ke Zoo Melaka dijangka akan meningkat mencecah 30 peratus pada setiap bulan. –UTUSAN ONLINE