PETALING JAYA: Lebih banyak syarikat penerbangan perlu diwujudkan supaya ada persaingan sihat yang dapat memberi pelbagai kepada orang ramai sekali gus mengatasi masalah harga tiket kapal terbang yang mahal.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, dengan adanya lebih banyak syarikat penerbangan seperti di luar negara, akan ada perbandingan harga yang menguntungkan penumpang.
“Negara perlu buka lebih banyak peluang kepada pemain-pemain industri penerbangan untuk mengadakan persaingan yang bagus dan harga tiket juga dapat diturunkan melalui persaingan sihat ini.
“Malaysia perlu memikirkan bagaimanakah cara untuk mewujudkan lebih banyak lagi syarikat penerbangan supaya rakyat mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat yang mereka merasakan berbaloi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, harga tambang kapal terbang terutama ke Sabah melonjak 20 kali ganda daripada harga asal, antara RM1,800 hingga hampir RM4,000 untuk penerbangan sehala.
Syarikat-syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia secara tiba-tiba menurunkan harga tiket sebanyak 30 peratus pada musim perayaan, selepas beberapa pendedahan laporan media mengenai harga tambang yang ‘mencekik darah’ dan ditegur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, seperti dijangkakan keadaan itu tidak bertahan lama apabila harga kembali meningkat dengan drastik hingga membimbangkan orang ramai yang pulang ke desa untuk pulang semula ke ibu negara.
Samsudin berkata, kerajaan juga boleh mewujudkan kembali perkhidmatan feri yang menghubungkan Semenanjung dan Sabah serta Sarawak seperti satu ketika dahulu yang pernah diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN










