Veteran tentera terharu terima rumah baharu - Utusan Malaysia

Veteran tentera terharu terima rumah baharu

DZULKARNAIN Ahmad (kanan) dan Haniza Mohamed Talha (empat dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Mohamad Sahil Mat Said pada Majlis Serah Kunci Rumah-Bina Baharu Menerusi Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Sarin, Kuala Klawang, Jelebu. Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang veteran tentera menganggap rumah baharu diterimanya yang dibina menerusi Inisiatif Perumahan Veteran ATM kelolaan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) sebagai hadiah Syawal terindah buatnya.

Koperal (B) Mohamad Sahil Mat Said, 53, berkata, dia telah memohon rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan amat bersyukur rumah berkenaan sudah siap sepenuhnya.

“Alhamdulillah, saya dan anak-anak sangat bersyukur dan gembira dengan rumah baharu ini. Sebelum ini saya hanya tinggal di rumah ibu di kampung berdekatan, namun, kini saya sudah memiliki rumah sendiri. 

“Saya tidak sangka rumah yang dibina sangat cantik dan selesa. Anak-anak saya pun seronok dan saya ucapkan banyak terima kasih kepada JHEV ATM dan pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Kunci Rumah-Bina Baharu Menerusi Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Sarin, Kuala Klawang, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jen. Datuk Dzulkarnain Ahmad dan dihadiri oleh Pengerusi SPNB, Haniza Mohamed Talha.

Mohamad Sahil yang sudah berpencen sejak 2010 itu memberitahu, rumah bernilai RM70,000 tersebut dibina di atas tanah milik isterinya.

“Alhamdulillah, anak-anak paling seronok hari ini, insya-Allah esok saya akan berpindah ke rumah baharu ini,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN