KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk mewujudkan Akta Sewaan Kediaman (RTA) disambut baik Persatuan Sewaan Kediaman Kebangsaan.
Pengerusinya, K. Prakash berkata, dengan adanya akta tersebut, kepentingan kedua-dua pihak dapat dilindungi dengan lebih adil dan lebih baik.
“Terdapat pemilik rumah yang menganiaya penyewa dengan enggan memulangkan wang deposit dua bulan penyewa setelah penyewa tamat tempoh sewaan dengan memaksa penyewa untuk melanjutkan tempoh sewaan selama dua bulan.
“Terdapat juga situasi di mana pemilik rumah memaksa penyewa menamatkan sewaan dengan mengejut tanpa alasan yang munasabah serta menaikkan harga sewa dalam tempoh kontrak sewaan masih berkuat kuasa.
“Sebaliknya terdapat juga senario di mana, penyewa yang menganiayai pemilik rumah dengan merosakkan harta milik pemilik rumah, tidak membayar sewaan tetapi enggan keluar daripada rumah sewa, ubah suai rumah tanpa kebenaran pemilik rumah dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, jika sebelum ini, sebarang pertikaian yang perlu melalui prosiding mahkamah menelan belanja sehingga RM10,000 ke RM15,000 sudah pasti dianggap tidak berbaloi bagi kes pertikaian yang melibatkan sewaan RM1,000 sebulan.
“Dengan pengwujudan RTA ini akan turut mewujudkan Tribunal Sewaan Kediaman yang dijangka akan memberikan penyelesaian kepada pertikaian berkaitan sewaan kediaman dengan kos yang lebih rendah, cepat dan efektif,” ujarnya.
Dalam pada itu, K. Prakash turut menekankan kewujudan RTA ini adalah penting sebagai pangkalan data sewaan yang lengkap dan komprehensif.
“Semasa negara dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Klausa Anti Pengusiran tidak dapat dimasukkan dalam akta Covid 829 serta bantuan-bantuan kepada penyewa yang terkesan tidak dapat dilaksanakan kerana negara tidak mempunyai akta yang khusus berkaitan sewaan kediaman dan tiada maklumat yang lengkap berkaitan pemilik rumah dan penyewa.
“Maklumat penyewa yang lengkap dapat memudahkan pihak kerajaan untuk memberikan bantuan secara terus kepada penyewa yang terkesan seperti baucer sewaan (rental voucher) atau apa-apa jenis bantuan lain yang boleh diberikan oleh Kerajaan dengan telus tanpa ketirisan,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, masih ada pihak yang tidak menyokong kewujudan RTA ini kerana apabila akta ini wujud, maka, semua pemilik rumah wajib mendaftarkan kediaman yang disewakan.
“Apabila pendaftaran kediaman sewaan diwajibkan, kerajaan akan mengetahui berapa jumlah sebenar pendapatan seseorang termasuk pendapatan daripada sewaan kediaman yang diperolehnya. Bagi individu yang mempunyai banyak kediaman sewaan sebagai contoh 10 buah rumah dengan pendapatan sewaan sebuah rumah sebanyak RM1,500 sebulan maka jumlah pendapatan sebulan adalah sebanyak RM15,000 dan pendapatan ini akan tertakluk kepada jumlah cukai yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan.
“Bagi menjaga kebajikan Keluarga Malaysia kerajaan perlu meluluskan Akta Sewaan Kediaman dengan kadar segera untuk kebaikan semua pihak yang tidak mempunyai kepentingan sendiri,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE