PONTIAN: UMNO mahu Rang Undang-Undang (RUU) sumbangan politik disegerakan pelaksanaannya bagi mengelak individu atau pihak tertentu menjadi mangsa ketidakadilan pendakwaan terpilih.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, salah satu usul yang dikemukakan adalah menyokong kewujudan akta pendanaan politik selain akta lompat parti.
Katanya, beliau secara peribadi memperjuangkan akta itu sejak sekian lama dan RUU berkenaan telah disiapkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri tetapi telah ditolak oleh pembangkang ketika itu.
“Pembangkang berpendapat jika disenaraikan penderma parti politik, maka kononnya kerajaan akan menyenarai hitamkan syarikat-syarikat yang menderma kepada pembangkang.
“Ini menyebabkan mereka beranggapan akta tersebut tidak perlu tetapi kepada kami perlu, sebagai contoh terdapat 41 individu disita dan 80 orang dikompaun atas tuduhan menerima wang 1MDB,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan, di sini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan RUU itu masih perlu dibincangkan dengan anggota Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, dengan adanya akta pendanaan politik, ia akan menggariskan perbuatan serta menyelamatkan orang yang memberi dan menerima sumbangan tersebut.
Mengenai Muafakat Nasional (MN), beliau berkata, Pas yang mula memutuskan hubungan apabila memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Katanya, walaupun peluang telah diberikan untuk berada bersama MN pada kedua-dua PRN tersebut, Pas dilihat lebih cenderung kepada PN dan telah ‘menyerang’ UMNO dengan beberapa gelaran.
“Apabila mereka gagal dalam kedua-dua PRN itu, sesetengah pemimpin Pas menyatakan kesediaan untuk kembali kepada MN, namun Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15,” jelasnya. – UTUSAN










