PETALING JAYA: Tujuh bekas pemimpin PKR yang kini berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengikut langkah Datuk Zuraida Kamaruddin keluar parti dan menyertai parti lain.
Menurut sumber, mereka bukan sahaja menzahirkan taat setia kepada perjuangan parti, malah terguris dengan tindakan dilakukan Ahli Parlimen Ampang itu.
Malah, mereka komited untuk menjayakan agenda Bersatu untuk negara dan tidak terfikir untuk meninggalkan parti apatah lagi menyertai wadah lain termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bekas pemimpin PKR dalam Bersatu ialah Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar;
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.
BERDIRI TEGUH
“Kalau YB Zuraida mahu tinggal Bersatu, itu terserah kepadanya. Tetapi bagi bekas pemimpin PKR yang baharu jadi ahli Bersatu, semua berdiri teguh di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sabtu lalu, Zuraida mengambil keputusan meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM kerana tertarik dengan enam prinsip sebagai elemen menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Sementara itu, Santhara Kumar yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika dihubungi memaklumkan beliau sedang sibuk dan akan menjawab berhubung tindakan Zuraida itu tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman menafikan dakwaan bahawa lebih ramai bekas pemimpin PKR akan meninggalkan Bersatu kerana kononnya dikatakan akan mengikuti jejak langkah Zuraida untuk menyertai PBM.
Malah beliau menjelaskan Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah tiga kali bersumpah dalam mesyuarat MPT Bersatu untuk setia dan tidak sesekali meninggalkan parti.
“Saya yakin bekas pemimpin PKR lain yang berada dalam Bersatu juga sama seperti Datuk Seri Azmin apabila mereka setia dengan perjuangan dan banyak membantu parti di kawasan masing-masing berbanding Zuraida,” katanya.
Dr. Muhammad Faiz kemudian menjelaskan tindakan Zuraida itu sebenarnya memberikan kesan kepada PKR apabila banyak pengasas terdiri dalam kalangan parti sekali gus berpotensi menarik lebih ramai pemimpin dan ahli parti tersebut. – UTUSAN










