Tujuh pasang baju raya buat King Oyen - Utusan Malaysia

Tujuh pasang baju raya buat King Oyen

AHLI Kelab Kucing Malaysia bersama haiwan peliharaan mereka memperagakan ‘baju raya’ masing-masing dalam Acara Si Meow Beraya Bersama Media di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dek kerana penangan ‘dendam’ raya, seorang pemilik kucing nekad meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bersama haiwan peliharaannya, ‘King Oyen’ apabila menyediakan tujuh pasang baju bernilai RM500.

Menurut Sofea Salleh, 49, dia menganggap tindakannya sebagai ‘membalas dendam’ setelah tidak dapat menyambut perayaan tersebut dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh berkenaan.

“Saya beli tiga pasang baju Melayu dan empat baju kasual lain untuk King Oyen dan kesemua pakaian ini dipakai pada tujuh hari pertama Aidilfitri ketika menziarahi sanak-saudara di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

“Alhamdulillah, King Oyen tidak pernah meragam atau melawan ketika memakai semua pakaian ini,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Kelab Kucing Malaysia (KKM) di Plaza Shah Alam, semalam.

Menurutnya, dalam majlis hari ini, kucingnya, yang kini berusia 4 tahun itu, memakai set lengkap baju Melayu, bersampin, bersongkok dan berkaca mata hitam bernilai RM100.

Kata Sofea, dia tidak menghadapi kesukaran untuk mencari pakaian untuk King Oyen memandangkan terdapat banyak peniaga yang menjual pakaian khas untuk kucing.

“Anggap sebagai anak sendiri kerana selalu membawanya ke mana-mana sahaja saya pergi.

“Disebabkan itu, semakin ramai yang mengenali King Oyen dan mahu mengambil gambar dengannya. King Oyen suka ambil gambar,” ujar suri rumah itu yang sudah membela kucing jantan itu selama tiga tahun.

Sementara itu, Presiden KKM, Khalid Rashid berkata, ini adalah kali pertama kelabnya menganjurkan rumah terbuka tersebut setelah kerajaan membenarkan rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri kali ini.

Menurutnya, sebagai 10 ekor kucing bersama pemiliknya yang hadir pada rumah terbuka tahun ini dan menjangkakan akan membuat majlis sama pada masa akan datang. Kelab ini kini mempunyai 3,000 ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum di seluruh negara,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya