Sivasangari garang ke pusingan ketiga skuasy dunia

Sivasangari garang ke pusingan ketiga skuasy dunia

S. Sivasangari meneruskan rentak konsisten menempah slot ke pusingan ketiga menyingkirkan wakil tuan rumah, Nadine Shahin dalam pusingan kedua Kejohanan Skuasy Dunia PSA 2022 di Kaherah, Mesir, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain muda negara, S. Sivasangari meneruskan rentak konsisten menempah slot ke pusingan ketiga menyingkirkan wakil tuan rumah, Nadine Shahin dalam pusingan kedua Kejohanan Skuasy Dunia PSA 2022 di Kaherah, Mesir, kelmarin.

Pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat beraksi selama 25 minit untuk menundukkan pilihan ke-14, Shahin 11-9, 11-9, 11-9.

Menjadi wakil tunggal Malaysia yang masih berjuang pada kejuaraan dunia selepas empat lagi pemain negara terkandas seawal pusingan pertama, Sivasangari berjaya menggalas tanggungjawab berat tersebut setakat ini.

Pemain berusia 23 tahun itu ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir melahirkan rasa gembiranya berjaya melangkah ke pusingan ketiga.

“Pertemuan dengan Nadine agak sengit. Dia seorang pemain sangat bagus, tetapi saya gembira dapat meneruskan kemaraan menerusi kemenangan tiga set,” kata Sivasangari yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Squashsite.com.

Pemain No. 20 dunia itu berpeluang untuk membalas dendam bagi pihak Aifa Azman apabila Sivasangari akan bertemu seorang lagi pemain Mesir, Nour El Tayeb yang sebelum ini menyekat langkah rakan senegaranya itu di pusingan pertama.

Pemain bukan pilihan, El Tayeb yang menghuni ranking No. 29 dunia mara ke pusingan ketiga setelah mengejutkan pilihan ketujuh, Salma Hany yang merupakan rakan senegaranya 12-10, 9-11, 11-3, 11-3 dalam masa 44 minit.

Berdasarkan congakan atas kertas dengan kedudukan ranking diambil kira, Sivasangari seharusnya mampu mengekang finalis Kejohanan Dunia 2019, El Tayeb, 29, untuk mencari laluan ke suku akhir dengan rekod pertemuan berpihak kepada wakil tuan rumah itu 0-1.

Selepas ketiadaan legenda skuasy dunia, Datuk Nicol David yang bersara pada 2019, Sivasangari kini menggalas tanggungjawab berat selaku perseorangan utama negara.

Dia akan beraksi pada pusingan ketiga, esok (pukul 12.45 malam) untuk cuba melakar sejarah dalam kariernya pada kejuaraan dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN