KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melakukan siasatan terhadap kontraktor yang melakukan kerja-kerja ubah suai dan pembinaan jika didapati tidak mendapat kelulusan serta sijil perakuan bagi membolehkan mereka beroperasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, kemungkinan terdapat warga asing melakukan kerja-kerja itu tanpa kebenaran sehingga dilihat mendominasi sektor pembinaan negara.
Katanya, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan isu tersebut kerana ia melibatkan aspek keselamatan dan kualiti kerja yang mesti mengikut spesifikasi kejuruteraan sebenar.
“Keadaan ini sangat mengganggu kontraktor tempatan sehingga mengakibatkan kami kekurangan pekerja asing. Saya lihat, ada yang menyamar sebagai pekerja tetapi hakikatnya, mereka mengusahakan perkhidmatan itu bersendirian.
“Walaupun mereka caj murah, kebergantungan orang ramai dengan pekerja asing yang kerja sendiri ini mengundang kepada pelbagai isu kerana tidak mengikut amalan kerja kejuruteraan.
“Kalau didapati mereka terlibat dan tidak mahu bekerja di bawah kontraktor tempatan, kerajaan mesti buat pemutihan, tangkap mereka semula dan hantar pulang ke negara asal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, sektor pembinaan dan perusahaan di negara ini semakin dikuasai warga asing yang dilihat mula mengancam ‘periuk nasi’ kontraktor tempatan khususnya bumiputera.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor, Mohammad Sahar Mat Din pula berkata, orang ramai yang merancang mengubah suai rumah atau melakukan projek-projek binaan diminta mendapatkan khidmat kontraktor tempatan termasuk konsultan dan jurutera.
Menurutnya, hal itu dianggap lebih baik daripada pelanggan terus bergantung dengan khidmat pekerja warga asing tidak bertauliah jauh sekali memiliki lesen kontraktor atau slip akuan diperakui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Katanya, akibat sikap masyarakat lebih gemar mendapatkan khidmat warga asing industri berkenaan terkesan sejak dua dekad lalu.
“Inilah masalahnya apabila orang kita sendiri mahu membaik pulih rumah, mereka lantik terus pekerja asing buat ubah suai sendiri. Sepatutnya, kita kena didik orang ramai melantik syarikat tempatan walaupun pekerja-pekerjanya adalah warga asing.
“Jika melantik secara terus warga asing sebagai ‘kontraktor jadian’, saya bimbang masalah akan berlaku seperti kerosakan pada binaan tersebut kerana tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan,” katanya.
Ditanya mengapa pekerja asing memilih menjalankan perkhidmatan sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat kontraktor berdaftar, Mohammad Sahar berkata, ia mungkin kerana pengalaman telah diperoleh semasa bekerja dengan majikan terdahulu dan melihat peluang lebih cerah jika bekerja sendiri.
“Mereka sudah tahu beli barang binaan di mana, pekerja-pekerja ada dalam ‘circle’ mereka sendiri malah boleh mencari klien sendiri. Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh buat suka hati kerana mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN










