PETALING JAYA: Negara boleh berdepan krisis keselamatan makanan sekiranya pelan yang dirancang untuk mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import tidak disemak semula selepas pelan sedia ada tidak mencapai hasil yang memberangsangkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ketika beliau menjadi menteri, bekalan makanan adalah mencukupi tetapi pihaknya merancang supaya tanaman dan ternakan dapat dihasilkan sendiri dengan meluas dan secara komersial.
“Tetapi, setakat ini kita sahaja memang tak cukup untuk bekalkan makanan sendiri di negara ini, tetapi, itulah… pelan menyeluruh ada, tapi tak sampai,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan Malaysia hanya mengeluarkan 23 peratus daging lembu, manakala pengeluaran daging kambing hanya 11 peratus pada 2020, walaupun pelbagai dasar dan insentif dilaksanakan kerajaan.
Mengikut data Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, kerajaan terpaksa mengimport daging yang semuanya berjumlah RM4.2 bilion pada tahun 2021.
Angka pengeluaran daging negara juga sangat kecil sedangkan Malaysia berkeluasaan 330,000 kilometer persegi dengan populasi 32.7 juta, menyebabkan Malaysia tidak mampu mencapai status sara diri (SSL) daging lembu setelah hampir 65 tahun mencapai kemerdekaan.
Salahuddin berkata, ketika beliau menjadi menteri, negara terpaksa mengimport lebih 70 peratus bekalan daging bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi. – UTUSAN










