Sejumlah 40,201 pemilih baharu didaftar automatik - Utusan Malaysia

Sejumlah 40,201 pemilih baharu didaftar automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 40,201 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang tempoh bulan lalu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah itu direkodkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2022 (DPT BLN4/2022) yang diperakukan semalam dan diwartakan hari ini.

Kata beliau, ia turut mengandungi 9,972 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,669 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“DPT BLN4/2022 itu dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 17 Jun depan yang boleh disemak melalui lima kaedah.

“Semakan boleh dibuat seperti portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau  https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan  http://ppn.spr.gov.my.

“Selain itu semakan melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau hotline SPR di talian 03-8892 7018,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ikmalrudin berkata, sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN4/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.

Di samping itu, katanya, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke pejabat pilihan raya negeri berkenaan. 

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal pejabat -pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN4/2022,” katanya. –UTUSAN PNLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN