Segerakan RUU Anti Lompat Parti atau ada lagi melompat - Utusan Malaysia

Segerakan RUU Anti Lompat Parti atau ada lagi melompat

AHMAD Maslan (tengah) meninjau pembinaan Masjid Jamek Kampung Parit Mokhyat, Ayer Baloi di Pontian, di sini. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO mendesak Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dipercepat bagi mengelak berlakunya tindakan melompat parti seperti dilakukan oleh Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bagi menjamin kestabilan kerajaan yang mempunyai majoriti sangat tipis, sepatunya RUU berkenaan dibentangkan sebelum Aidilfitri lalu.

Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan seorang ahli Parlimen bertaraf menteri meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beralih kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Sebenarnya boleh dibuat jika ada persetujuan Perdana Menteri dan Kabinet bagi mengadakan persidangan khas kerana sementara hendak menunggu bulan Julai dikhuatiri ada lagi yang akan melompat.

“Jika ini terus berlaku ia menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik dan hanya boleh diselesaikan melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya ada pihak dilihat lebih mempunyai agenda peribadi daripada menjaga kepentingan rakyat,” katanya selepas meninjau pembinaan Masjid Jamek Kampung Parit Mokhayat, Ayer Baloi, di sini, pagi semalam.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Anti Lompat Parti dijangka dibentangkan selewat-lewatnya 18 Julai ini.

Semalam pula, Zuraida yang juga Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi umum keluar daripada Bersatu dan menyertai PBM sebelum RUU Anti Lompat Parti diluluskan oleh Parlimen.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, jika sidang khas Parlimen dibuat pada Jun ia sudah pasti akan mempercepat pembaharuan dalam landskap politik negara dalam membendung perbuatan lompat parti berterusan.

Mengenai tuntutan mana-mana parti supaya kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan oleh Zuraida dikembalikan kepada parti tertentu, Ahmad menyifatkan pelantikan Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN