KAJANG: Rang Undang-Undang (RUU) sumbangan politik perlu dibincang lebih teliti dan mendalam bagi memastikan ia betul-betul efektif sebelum diluluskan untuk diguna pakai.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan undang-undang itu berkesan untuk jangka masa panjang selain mengelak berlaku kelonggaran dalam RUU itu sendiri.
“Kaedah dan mekanisme ini harus difikirkan dengan lebih mendalam, sebab sesuatu yang hendak kita lakukan, kita tidak mahu ada ‘flip flop’, sekarang boleh guna, esok tak boleh guna.
“Apa yang kita mahu pastikan adalah RUU itu boleh digunakan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) Bagi Program Rawatan Dan Pemulihan Penagihan Dadah AADK (MRT AADK), hari ini.
Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kaedah serta mekanisma bagi menguatkuasakan RUU itu juga perlu diketuai oleh satu pasukan pakar dalam kalangan pelbagai agensi termasuk mereka yang berpengalaman.
“Kita ambil mereka yang sudah praktik di negara-negara luar, kita buat lawatan, maka selepas itu barulah kita adakan sesuatu yang boleh diguna pakai pada masa-masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawalseliaan sumbangan politik dan ia dipersetujui untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Menurut Ismail Sabri, RUU itu perlu dibawa untuk perbincangan dengan ahli Kabinet terlebih dahulu sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti politik.-UTUSAN ONLINE