RM19.8 juta kerugian Macau Scam di Selangor - Utusan Malaysia

RM19.8 juta kerugian Macau Scam di Selangor

ARJUNAIDI Mohamed (tengah) dalam sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penipuan Macau Scam di Selangor membimbangkan berikutan sebanyak 156 kes dengan kerugian RM19.8 juta direkodkan dalam empat bulan pertama tahun ini.

Kes itu rata-ratanya melibatkan transaksi dalam talian antaranya penyamaran sebagai penjawat awam dan pembelian barangan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pemerhatian pihaknya mendapati mangsa terdiri daripada semua golongan termasuk korporat dan kakitangan kerajaan.

“Sepanjang tempoh Januari hingga April lalu, Macau Scam mencatatkan jumlah kes yang tinggi sehingga kerugian melebihi RM19 juta.

“Keadaan itu nyata membimbangkan dan menunjukkan bahawa masih ramai mangsa terpedaya dengan penipuan terutama secara online,” katanya ditemui selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi.

Jelas Arjunaidi, beberapa faktor dikenal pasti menjadi punca kes penipuan Macau Scam masih berleluasa sehingga kini.

“Punca utama adalah mangsa sendiri yang terlalu panik dan mudah mempercayai individu yang menyamar penjawat awam menerusi panggilan telefon atau membeli barangan tidak wujud.

“Selain itu, saya berasakan bahawa undang-undang sedia ada perlu dipinda seiring dengan zaman teknologi yang kian canggih,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan merujuk kepada pihak berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi wang sekali gus mengelak menjadi mangsa penipuan.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya 554 pegawai Kor Suksis di Selangor mahu terus menabur bakti bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kesemua pelajar di empat universiti termasuk UiTM itu amat digalakkan menyertai bidang kepolisan sama ada pegawai atau anggota. Mereka turut  dialu-alukan untuk menjadi sukarelawan polis selepas tamat pengajian kelak,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya