RM183j aset sindiket dadah disita

RM183j aset sindiket dadah disita

sindiket dadah
AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar beberapa operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang dilakukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira RM183.14 juta harta melibatkan sindiket dadah di seluruh negara disita Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam tempoh 15 bulan sehingga 31 Mac lalu.

Kesemua sitaan tersebut membabitkan RM162.98 juta sepanjang tahun lalu manakala RM20.16 juta pada 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua aset yang disita tersebut seperti wang, kenderaan, kediaman dan barang-barang peribadi mereka yang membabitkan semua sindiket dadah termasuk milik raja dadah dan pengedar.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM16.8 juta melibatkan aset kenderaan; bangunan (RM8 juta) manakala RM4.78 juta adalah wang dalam akaun bank serta aset tanah (RM4.5 juta).

SITA

“Kita turut menyita wang tunai berjumlah RM1.93 juta, barang kemas (RM893,158), lain-lain harta (RM184,400), saham (RM159,399) dan peralatan elektrik (RM12,400).

“Semua harta tersebut dilucut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan RM19.15 juta (2021) dan RM3.73 juta untuk tiga bulan tahun ini.

Tambahnya, JSJN sentiasa memastikan harta sindiket dirampas hasil daripada jenayah dadah ini dapat dilucut hak jika terbukti ia hasil daripada kegiatan haram.

“Selain itu, JSJN tidak akan berhenti menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Ayob Khan, dalam tempoh 15 bulan ini juga, JSJN berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1.15 bilion.

Jelasnya, bagi tahun lalu, pihaknya merampas 27,865.1 kilogram (kg) dan 12,615.98 liter pelbagai jenis dadah, 343767.13 kg daun ketum dan 76,314.71 liter air ketum dan kesemuanya bernilai RM965.14 juta.

Menurut beliau, rampasan untuk tiga bulan pertama tahun ini melibatkan 7,122.19 kg dadah dan 990.38 liter cecair dadah.

“Turut dirampas 40,348.79 kg daun ketum dan 24,313.99 liter air ketum. Kesemua jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM190.003 juta.

“Dalam tempoh terbabit, seramai 171,125 tangkapan dilakukan membabitkan 143,549 kes,” katanya.

Tambah Ayob Khan, daripada jumlah itu, seramai 9,165 orang melibatkan 5,442 kes dipercayai memiliki dan mengedar dadah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut beliau, pihaknya turut memberkas kira-kira 69,633 (69,806 kes) penagih dan pengguna di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Penyalahgunaan Dadah 1983. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN