Rindu pada Muhammad Nasron tidak berpenghujung

Rindu pada Muhammad Nasron tidak berpenghujung

rentung
AIDOL Munir Akbar Abdul Aziz (duduk, tiga kanan); Umi Maizatul Akmar Md. Tahar (kiri) dan Muhammad Fitri (tiga dari kiri) di pusara Muhammad Nasron selepas selesai pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuala Kubu, Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, semalam. –MINGGUAN/ MOHAMAD ATHIR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Selama 16 tahun bersama Muhammad Nasron Aidol Munir Akbar, Muhammad Fikri akui tidak dapat bayangkan bagaimana kehidupannya selepas kematian satu-satunya saudara kandungnya.

Malah anak kedua daripada dua beradik itu dilihat pengsan selama dua kali di tanah perkuburan kerana tidak lalu makan akibat terlalu sedih dengan pemergian abangnya sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, saat menyedari kebenaran abangnya sudah pergi buat selama-lamanya, segala kenangan bersama selama ini tiba-tiba muncul dalam fikiran dan tersentak semua itu kini hanya dimilikinya seorang diri.

Kata Muhammad Fikri, 16, bermacam-macam perkara diingati sejak mereka kecil sehinggalah kali terakhir bertemu dengan Muhammad Nasron yang merupakan mahasiswa Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu lalu.

“Memang saya betul-betul terkejut dan tak boleh bayangkan bagaimana saya akan merindui arwah abang. Kami bermain bersama-sama, buat kerja ‘gila’, bertembung ketika main basikal, ingatan itu semua datang secara tiba-tiba.

“Bila ayah maklumkan abang sudah tiada, pada awalnya saya tidak percaya, tetapi selepas semua sepupu bertanya akhirnya air mata saya menitik. Lepas ini tiada lagi gurauan dalam kereta ketika pergi berjalan atau pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

GEMAR MEMASAK

Sementara itu, menurut bapa, Aidol Munir Akbar Abdul Aziz, 58 dan ibu, Maizatul Akmam Md. Tahir, 55, Allahyarham Muhammad Nasron merupakan seorang yang gemar memasak dan bercita-cita menjadi chef.

“Arwah gemar ke dapur dan menu yang dia suka masak adalah ayam atau daging goreng kunyit. Dia belajar buat kek ketika di tingkatan 5, pernah masuk program memasak di USAS dan lauk kegemaran orang Kampar iaitu ‘gulai ompok’.

“Bila balik ke rumah sama ada ketika tinggal di asrama sekolah dan juga rumah sewa di Kuala Kangsar, Perak, arwah mesti masuk dapur. Bila dia masuk dapur adiknya, Muhammad Fikri akan ikut sekali, di situlah mereka suka saling ‘menyakat’,” kenangnya.

Tambah mereka lagi, arwah juga sering menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti bermain kompang dan berqasidah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN