Ramadan: kahwin meningkat di Selangor - Utusan Malaysia

Ramadan: kahwin meningkat di Selangor

PERMOHONAN bernikah pada April atau Ramadan di Selangor meningkat sebanyak 7.6 peratus berbanding Januari hingga Mac, malah bulan itu turut menyaksikan 98 pasangan melangsungkan pernikahan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bulan Ramadan tahun ini menyaksikan Pengeluaran Kebenaran Berkahwin daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui pejabat agama Islam daerah meningkat berbanding Januari hingga Mac.

Malah, trend permohonan bernikah di Selangor pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan setiap bulan iaitu 9.4 peratus pada bulan Februari berbanding Januari, kemudian naik 12 peratus pada Mac dan 7.6 peratus sehingga 22 April.

Menerusi statistik daripada JAIS, kebenaran yang diberikan pada bulan ini sehingga 22 April lalu adalah yang tertinggi iaitu 54,898 permohonan dibenarkan berbanding Januari (41,615), Februari (45,518) dan Mac (50,993).

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, kebenaran tersebut mempunyai tempoh sah selama tiga bulan dan dalam masa sama menunjukkan terdapat umat Islam di negeri ini yang bernikah pada bulan Ramadan.

“Permohonan ini biasanya meningkat atas faktor bernikah ketika cuti sekolah pada awal, tengah dan hujung tahun. Permohonan perlu dibuat tiga bulan sebelum bernikah, maknanya kebenaran berkahwin yang dikeluarkan sah dalam tempoh tiga bulan selepas dikeluarkan.

“Menerusi statistik Pendaftaran Perkahwinan Bagi Pengeluaran Surat Perakuan Nikah (SPN) Selangor, terdapat akad nikah dilaksanakan pada bulan April melibatkan 98 SPN dikeluarkan sehingga 22 April. Jumlah tersebut adalah 4.3 peratus berbanding Januari (2,294),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain permohonan kebenaran berkahwin dan pelaksanaan akad nikah, turut dikongsikan adalah trend perceraian pada tahun ini yang menunjukkan penurunan agak ketara sejak Januari lalu,

Menerusi statistik Surat Perakuan Cerai (SPC) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melalui Mahkamah rendah Syariah (MRS) di daerah, trend penurunannya adalah 39.6 peratus pada Februari berbanding Januari, enam peratus pada Mac dan 84.7 peratus pada April.

Jelas Mohd. Shahzihan, pendaftaran cerai semasa Ramadan dibuka seperti biasa walaupun tidak sebanyak pendaftaran di bulan-bulan lain.

“Secara asas, perceraian dalam bulan Ramadan tidak dihalang dalam Islam, melainkan sudut pandangan masyarakat itu sendiri yang merasakan perceraian di bulan Ramadan adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

“Apapun, perkara yang perlu difahami semua, perceraian dibuka sebagai jalan akhir dalam hidup suami isteri yang menghadapi berbagai masalah yang mana mudaratnya sangat besar untuk meneruskan perkahwinan, dan pilihan terbaik antara keduanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menambah bulan Ramadan yang berlangsung ketika negara memasuki fasa endemik daripada waba Covid-19 membolehkan pelbagai program oleh JAIS dilaksanakan sehingga akhir bulan.

Menurutnya terdapat tiga program utama dilaksanakan Bahagian Dakwah iaitu Program Tausiah dan Konsi Rezeki Barakah Iftar Ramadan, Program Semarak Kasih Ramadan Bersama Masyarakat Orang Asli serta Program Tadabbur dan Diskusi Muslimat.

“Dalam Program Tausiah dan Konsi Rezeki Barakah Iftar Ramadan sebanyak 800 pek makanan berbuka puasa diedarkan kepada keluarga B40 di 20 perumahan terpilih dengan kerjasama enam pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga 28 April.

“Bagi program bersama masyarakat Orang Asli, 10 buah kampung yang terpilih di tujuh daerah seluruh negeri, sementara Program Taddabur dan Diskusi Muslimat pula berkonsepkan mendidik dan memperkasa peranan wanita dalam mendepani masa depan semakin mencabar yang diadakan setiap tahun,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya