Rakyat Malaysia kurang minat kunjungi Danok - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia kurang minat kunjungi Danok

SUASANA di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah masih lengang walaupun SOP memasuki Thailand dilonggarkan sejak awal Mei lalu. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Walaupun prosedur operasi standard (SOP) memasuki Thailand dilonggarkan sejak awal Mei lalu, rakyat tempatan masih kurang berminat berkunjung ke Danok yang terletak di sempadan negara, di sini.

Tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini semalam mendapati, suasana di kawasan itu masih lengang dan kelihatan cuma beberapa individu yang mempunyai urusan kerja dan perniagaan.

Seorang pemilik syarikat insurans, Murni Amir, 51, berkata, syarat ketat Kerajaan Thailand terutama melibatkan permohonan pas kemasukan dan penginapan menyebabkan ramai kurang berminat ke negara itu termasuk Danok.

“Namun keadaan lebih baik daripada 1 April lepas apabila sempadan mula dibuka. Dulu kena sediakan sekurang-kurang RM1,000 untuk masuk ke Thailand termasuk tempahan hotel, ujian saringan Covid-19 dan insurans perubatan.

“Namun syarat itu dilonggarkan pada 1 Mei lalu. Orang ramai hanya perlu membayar RM100 untuk insurans perubatan dan RM50 (insurans kereta) tetapi permohonan Pas Thailand ini agak leceh kerana ambil masa sehingga 48 jam selain kena tempah hotel. Mungkin sebab itu ramai masih tak berminat untuk pergi Danok,” katanya.

Menurut Murni, dia hanya menerima sejumlah 10 hingga 20 pelanggan yang ingin ke Thailand pada hujung minggu berbanding lima pelanggan pada hari biasa.

“Saya baru buka kembali perniagaan ini sejak 1 April lalu. Dahulu sebelum Covid-19 kami terima ratusan pelanggan setiap hari tetapi keadaan mungkin jadi lebih baik selepas ini.

“Orang utara mungkin bernasib baik kerana boleh buat pas sempadan untuk tiga hari penginapan berbanding menggunakan pasport antarabangsa sehingga tujuh hari penginapan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang juga bekas pemandu teksi, Rosli Hashim, 60, berkata, kebanyakan penumpangnya sebelum ini terdiri daripada peniaga dan individu yang mempunyai urusan pekerjaan di Thailand.

“Dulu memang senang dan bebas keluar masuk balik hari pun boleh. Sekarang kena tempah hotel sekurang-kurang tiga hari.

“Pelanggan kami pun setiap hari cuma dua hingga tiga orang. Harap keadaan jadi lebih baik nanti. Sudah lama pemandu teksi seperti kami menderita malah banyak yang sudah berhenti bawa teksi sejak Covid-19,” katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Seorang rakyat tempatan, Boon Sis Den, 56, memberitahu, keadaan di Danok masih tidak banyak berubah walaupun sempadan Malaysia-Thailand dibuka sejak bulan lalu.

“Masih banyak kedai ditutup kerana mereka tahu bukan mudah nak masuk Thailand sekarang. Sudah dua tahun susahlah nak buka semula perniagaan.

“Dahulu boleh masuk dan keluar setiap hari sekarang terpaksa kena tempah hotel. Kalau nak melancong jauh sehingga ke Bangkok atau Phuket bolehlah tetapi sekadar nak ke Danok tanpa urusan tak perlulah,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN