Polis, PGA kesan baki PATI larikan diri dari bot terkandas - Utusan Malaysia

Polis, PGA kesan baki PATI larikan diri dari bot terkandas

PATI yang ditahan dibawa menaiki trak ke beberapa lokap termasuk di IPD Kerian dekat Bagan Serai semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seramai 20 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) kini memantau lokasi sekitar Kuala Gula dan Kuala Kurau di sini bagi mengesan saki baki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri selepas bot yang mereka naiki terkandas di beting pasir di perairan Kuala Kurau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, seramai 164 PATI warga etnik Rohingya, Myanmar dan Bangladesh telah berjaya ditahan sehingga petang semalam termasuk mereka yang melarikan diri ke kawasan darat selepas bot dinaiki mereka terkandas di beting pasir.

“Pemantauan terus dilakukan polis bersama PGA di beberapa lokasi di sekitar Kuala Gula dan Kuala Kurau di sini bagi mengesan saki baki PATI yang mungkin terlepas.

“Setakat ini, tiada maklumat rasmi jumlah keseluruhan PATI yang berada di atas bot yang terkandas itu.

“Namun, jumlah yang telah ditangkap sehingga senja semalam ialah seramai 164 orang, termasuk 12 lelaki warganegara Rohingya yang ditahan di sebuah ladang kelapa sawit milik swasta di Kuala Gula,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Mazuki turut meminta orang ramai atau penduduk kampung yang berhampiran menyalurkan maklumat sekiranya terlihat  PATI dengan segera menghubungi pihak Polis.

Semalam, seramai 143 orang PATI ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas  bot yang membawa mereka terkandas di perairan Kuala Kurau di sini.

Dalam kejadian itu, seramai 86 PATI ditahan ketika berada di atas bot manakala selebihnya melarikan diri dengan terjun dan berenang ke kawasan daratan yang berhampiran.

Sementara itu, tinjauan di Jeti PPM di sini mendapati PATI yang ditahan dibawa menaiki trak ke beberapa buah lokap termasuk lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN